Pelajar tingkatan dua ini berjaya dalam bidang keusahawanan dan semakin popular dalam kalangan pengikutnya di Instagram apabila melancarkan tudung sekolah jenama sendiri, dua bulan lalu.

Menurut satu portal, hanya bermula sebagai pengumpul squishy toys (mainan patung lembut) dan menjualnya sedikit demi sedikit kepada rakan menjadikan Nur Iman Safiyah Mohammad Shahree semakin berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Nur Iman Safiyah berkata, dia mula menjual squishy toys ketika berusia 11 tahun apabila ramai rakannya berminat untuk membeli mainan yang dikumpul sebelum memulakan perniagaan secara dalam talian.

“Minat berniaga itu datang dengan sendiri. Apabila ibu bapa tahu saya menjual mainan, mereka sokong tindakan saya dan membeli squishy toys secara borong untuk saya berniaga.

“Selepas dua tahun aktif menjual squishy dan ramai pengikut, saya menggunakan keuntungan diperoleh itu untuk dijadikan modal menjual shawl (selendang) pula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, beberapa bulan kemudian, dia menjual tudung bawal dengan jenama sendiri iaitu Baluna Bawal sempena Aidiladha 2017.

 

Katanya, sambutan yang menggalakkan menjadikan dia sentiasa bermotivasi untuk mencipta inovasi baru dan bersemangat mengembangkan perniagaannya.

“Saya menjadi seronok berniaga sehingga dapat melancarkan satu lagi produk baru iaitu Tudung Sekolah Iman Safiyah (TSIS), November lalu.

“Alhamdulillah, 500 helai terjual pada November lalu dan kemudian lebih 1,000 TSIS mendapat tempahan bulan berikutnya,” katanya yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari.

NUR Iman Safiyah menggayakan tudung sekolah jenama sendiri TSIS.

Menurutnya, kini setiap hari dia menerima tempahan hingga tidak menang tangan menyebabkan semua adik-beradik dan ibu bapa membantunya untuk menerima tempahan, pembungkusan dan penghantaran.

Nur Iman kini mempunyai lebih 288,000 pengikut di Instagram tular di laman sosial kerana menjadi usahawan berjaya pada usia yang begitu muda.