KAMPUNG RAJA - Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2 maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah lori dalam kejadian di Kampung Lapan Kotak dekat Jertih, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Azwar Azman, 14, beralamat di Lorong Budiman, Alor Lintang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah lori jenis Hino membawa muatan peralatan pembinaan (hardware) dari arah Batu Tumbuh menghala ke Kerandang memberhentikan lori di tepi jalan di Kampung Lapan Kotak.

Menurutnya, tiba-tiba motosikal Honda Wave ditunggang mangsa yang datang dari arah sama telah melanggar belakang lori tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

“Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut namun meninggal dunia semasa sedang mendapatkan rawatan di situ akibat kecederaan parah di bahagian dada.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan  Jalan 1987.