KAJANG - Seramai 35 delegasi Seameo Sen - Seameo Biotrop - Mardi berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama sempena Kursus Urban Agriculture Training For Malaysian Special Education Teachers.

Kunjungan mereka diketuai Pengarah Seameo Biotrop dari Bogor, Indonesia, Dr Irdika Mansur, Pegawai Penyelaras Bahagian Latihan & Konsultasi Seameo Sen, Mazmi Maarof dan 30 guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mewakili 14 jabatan pendidikan seluruh Malaysia.

Delegasi membuat lawatan ke PPKI SMK Kajang Utama dengan tujuan melihat kemenjadian murid pendidikan khas dalam melaksanakan Perkebunan Bandar atau lebih dikenali Urban Farming.

Delegasi didedahkan mengenai aktiviti Urban Farming yang dijalankan di SMK Kajang Utama seperti tower garden, nutrient film technique, self watering container, hidroponik, hidropot, menara botol, mini akuaponik, baja nutrien ikan-pisang dan penghasilan bio pest repallent.

Pengetua, Norehan Abdul Sani berkata, kehadiran delegasi Seameo Sen - Seameo Biotrop - Mardi ke sekolah merupakan permulaan bermakna kepada warga sekolah amnya dan kepada kemenjadian anak-anak pendidikan khas khususnya.

"Ini akan menjadi titik permulaan untuk warga sekolah mendidik tentang kepentingan urban farming dalam melestarikan persekitaran hijau di sekolah.

"Usaha melestari kehijauan ini akan diteruskan sehingga menjadi budaya yang dihayati oleh seluruh warga SMK Kajang Utama," katanya.

Sementara itu, Mazmi berkata, lawatan ke sekolah merupakan lawatan penanda aras untuk guru-guru PPKI yang sedang menjalani kursus Incountry Training: Urban Agriculture for Malaysian Special Education Teachers yang diadakan 8 hingga 11 Ogos di Pusat Latihan Mardi.

Kursus ini adalah jalinan kerjasama antara Seameo Biotrop - Mardi - Seameo Sen yang bertujuan memperkasakan guru-guru pendidikan khas dengan kemahiran melaksanakan tanaman bandar untuk anak-anak Murid Berkeperluan Khas (MBK).

“Seameo Biotrop dan Seameo Sen kagum dengan aktiviti pertanian bandar yang sedang dilaksanakan khususnya impak kepada kemenjadian anak- anak MBK.

"SMK Kajang Utama diharap dapat dijadikan contoh kepada peserta kursus untuk berusaha memantapkan lagi projek tanaman bandar di sekolah-sekolah mereka dan seterusnya menjadikan guru-guru dan murid sebagai inspirasi dan panduan untuk mengaplikasikan tanaman bandar di sekolah masing-masing," katanya.