TAIPING - Program Malaysia #QuranHour adalah platform terbaik yang boleh digunakan dalam usaha mendekatkan pelatih-pelatih di Sekolah Tunas Bakti Taiping, di sini dengan al-Quran.

Pengetuanya, Anuwar Ismail berkata, pada hari ini seramai 200 peserta telah menyertai Malaysia #QuranHour yang pertama kali dilaksanakan di sini.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 130 adalah pelatih Sekolah Tunas Bakti Taiping dan selebihnya dari Rumah Ngaji Taiping dan warga emas dari Rumah Seri Kenangan Taiping.

"Kita amat berbesar hati dengan penganjuran Malaysia #QuranHour di sini kerana ia bukan sahaja dapat memberi pendedahan kepada pelatih malah diharap dapat memberi semangat kepada mereka untuk membaca al-Quran," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar berkata, penyertaan pada hari ini (semalam) turut melibatkan golongan berusia.

"Oleh itu, kita berharap ia pelatih-pelatih di sini dapat menjadikannya satu contoh terbaik.

"Golongan yang berusia ini juga sanggup datang untuk sama-sama mengaji al-Quran, jadi mereka juga tidak ketinggalan untuk merebut peluang keemasan ini terutama pada bulan Ramadan," katanya.

Mengulas lanjut, Anuwar berkata, majoriti penghuni yang berada di sini adalah mereka yang berusia antara 14 hingga 19 tahun.

"Walaupun, di sini memang disediakan kelas-kelas pengajian agama dan al-Quran, tetapi melalui program-program seumpama ini ia berupaya memberi satu pengalaman baharu.

"Kita amat berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan mungkin boleh melibatkan pelatih-pelatih yang berada di  sini," katanya.

Tambah Anuwar, pihaknya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Rumah Ngaji Taiping kerana memilih Sekolah Tunas Bakti Taiping sebagai lokasi program ini.

"Ia satu peluang dan pengalaman terbaik yang boleh dirasai semua pelatih beragama Islam," katanya.