TEMERLOH - Pemenang peraduan Hari-Hari Duit Raya, Hasrizan Md Ali Hanapiah, 37, berterima kasih kepada isterinya, Aida Noor Diana Yusof, 32, yang mencuba nasib menggunakan namanya untuk peraduan tersebut.

Hasrizan dari Felda Jenderak Utara Kuala Krau berkata, isterinya yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah di Bentong itu tidak berputus ada menyertai peraduan tersebut.

“Sebenarnya isteri yang isikan dan lengkapkan borang peraduan, tapi ketika mengisi nama, dia ada cakap guna nama saya sebab bertuah sikit, tak sangka betul-betul menang. Untuk peraduan ini kami hantar tiga borang penyertaan.

“Malah ketika menerima panggilan Sinar Harian, pada mulanya tak percaya dan terkejut, sebab tak pernah menang pun peraduan sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasrizan yang ditemani isteri dan dua anaknya berkata, hadiah wang tunai RM500 itu sangat bermakna buat mereka sekeluarga.

“Saya baru sahaja ditamatkan kontrak bekerja hujung Mei lalu. Jadi, duit ini sangat membantu dan boleh digunakan untuk membeli keperluan Aidilfitri nanti.

“Syukur dan terima kasih kepada Pusat Pakaian Hari-Hari dan Sinar Harian kerana anjurkan peraduan sebegini,” katanya.