KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendedahkan 50 peratus daripada 956 pusat pengajian Islam (tahfiz) seluruh negara yang diperiksa sejak September lalu berada dalam keadaan tidak selamat dan perlu ditambah baik.

Ketua pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua 1,117 pusat tahfiz seluruh negara sehingga 22 Oktober ini.

Menurutnya, sebanyak 389 notis dikeluarkan kepada pusat tahfiz yang tidak mematuhi tahap keselamatan.

“Pemilik akan diberi masa untuk menambah baik premis mengikut undang-undang dan spesifikasi keselamatan bangunan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan sehingga 13 Oktober lalu, 291 pusat tahfiz dikenal pasti tidak mempunyai alat keselamatan kebakaran mencukupi manakala kesalahan lain yang dikesan dan diberi perhatian termasuk penyediaan laluan keluar mencukupi dan selamat jika berlaku kebakaran.

“Bomba terpaksa keluarkan notis mengikut peraturan sedia ada agar operasi dan penghuninya dalam keadaan selamat. Jika mereka gagal mengikut arahan dalam tempoh ditetapkan  kes, akan di bawa ke mahkamah,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan, Kebakaran dan Pameran Inovasi 2017 di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, semua pusat tahfiz dan pondok di negara digesa mematuhi peraturan keselamatan termasuk menyediakan tangga yang cukup bagi memudahkan penghuni keluar jika berlaku kecemasan.

“Kita mahu pastikan semua penghuni di pusat tahfiz dapat keluar dengan selamat dan mengelak berlaku kebakaran hingga boleh meragut nyawa, juga memastikan asrama dilengkapi alat pengesan asap (penggera)," katanya.

Katanya, setakat ini Selangor negeri tertinggi mempunyai pusat tahfiz tidak mengikut aspek keselamatan yang betul, diikuti Johor dan Kedah.