Sudah 14 tahun Cikgu Adrine Sapari, 38 berkecimpung dalam dunia pendidikan. Dalam tempoh tersebut, beliau telah berkhidmat di dua sekolah iaitu Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, Melaka (lima tahun) dan kini di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan sebagai Guru Pemulihan Khas bermula 2 Januari 2009 hingga sekarang.      

Ketika ditemu bual GPSBestari, Cikgu Adrine memberitahu banyak pengalaman sukar dilupakan sepanjang mengajar di SHG.

"Saya lapor diri di SHG pada 1 Julai 2003 dan berkhidmat sehingga 31 Disember 2008. Di sini, saya mengajar subjek Sejarah dan Sains untuk PMR dan SPM. Juga diberi kepercayaan oleh pihak Jabatan Penjara untuk mengajar pelajar juvana yang belum menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

"Saya melihat, kawalan disiplin yang ketat dan ketekunan pelajar juvana adalah teras kejayaan mereka. Pencapaian pelajar yang terbaik sering kami jadikan contoh sebagai sumber inspirasi dan motivasi bahawa tiada perkara mustahil sekiranya ketekunan, kegigihan dan disiplin tinggi pada seseorang pelajar itu mampu menjana kejayaan," katanya dengan menambah berdasarkan hasil kaji selidik yang dilakukan, punca utama pelajar melakukan kesalahan atau terlibat dalam gejala negatif di luar kawasan sekolah disebabkan pelbagai faktor, terutama kelonggaran institusi keluarga dan pengaruh rakan sebaya hingga hilang minat dalam pembelajaran.

Aktiviti dengan murid pemulihan khas dalam program anjuran PPD Rompin Pahang.

 

Sepanjang mengajar di SHG, beliau mendapati peranan guru sangat penting.

"Guru perlu memberikan motivasi dan pendekatan yang berbeza. Disebabkan masa pengajaran dan pembelajaran amat suntuk malah dipengaruhi latar belakang pelajar, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan berbeza dengan luar.

"Pendekatan seperti kerja berkumpulan, sesi pembentangan dan latih tubi secara berterusan digunakan untuk proses pengajaran mata pelajaran," katanya.

Ujar beliau, kaedah tersebut menjamin keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Saya juga menggunakan pelbagai pendekatan seperti pendekatan berforum iaitu menggalakkan pelajar bercakap di hadapan kelas serta menulis sendiri di papan hitam untuk mengelakkan suasana bosan dalam bilik darjah. Ini juga sedikit sebanyak membantu pelajar memahami dan sekali gus memupuk keyakinan pelajar," kata anak kelahiran Melaka ini.  

Menurut Cikgu Adrine, beliau kagum dengan semangat dan sikap yang ditunjukkan pelajar di situ meskipun terpaksa belajar dalam serba kekurangan.

"Mereka amat aktif dalam kelas seperti rajin bertanya, ingin tahu dan sering kali menyudahkan segala tugasan diberi. Saya rasa seronok dapat bertugas dengan jabatan beruniform yang mengamalkan disiplin tegas dan seragam. Bayangkan daripada 400,000 guru seluruh negara, tak sampai 100 orang rasanya yang terpilih berkhidmat di SHG.

"Saya juga diberi peluang bersama meningkatkan imej institusi dengan menyertai pasukan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja 2004 hingga 2006.

"Pencapaian paling bernilai apabila enam anak didik SHG berjaya memasuki institut pengajian tinggi dan menaikkan imej institusi pada kaca mata masyarakat," kata bapa anak tiga.

Guru Pemulihan Khas

Selepas mengajar di SHG, Cikgu Adrine berpeluang menjadi Guru Pemulihan Khas pula. Walaupun perlu ajar murid-murid ini, dia tetap seronok.

"Sebenarnya bidang Pemulihan Khas bukannya asing pada saya. Di SHG juga saya terlibat mengendalikan kelas pemulihan untuk pesalah juvana yang tidak menguasai kemahiran membaca dan menulis. Alhamdulillah berkat kerjasama dan ketekunan yang berterusan, ada antara mereka mampu menguasai 2M dengan cepat dan berjaya dalam PMR ketika itu.

"Justeru, pengalaman ketika di SHG banyak membantu saya mengajar murid pemulihan di SK Bukit Ridan. Murid pemulihan sebenarnya bukan kategori lemah, namun perlu tumpuan khusus dan pedagogi yang kreatif," katanya.

Menurutnya, beliau mengajar seorang murid mengenal abjad vokal selama tiga bulan tetapi akhirnya dapat juga murid tersebut menguasai apabila di akhir tahun.

"Sebenarnya, mengajar mereka memerlukan ketegasan dan kesabaran tinggi. Peneguhan dan ganjaran positif perlu diberikan termasuklah kata-kata positif seperti "awak boleh, awak pandai, awak bijak, awak sebenarnya murid yang baik" dan yakinkan mereka boleh berjaya seperti murid lain," ujarnya.

Dilantik sebagai Pengerusi Guru–guru Pemulihan Khas Daerah Rompin bermula 2014 hingga kini.