Kuala Terengganu - Bagi membuatkan setiap pelajar ingat peraturan sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam tahun ini melancarkan Buku Catatan dan Peraturan Sekolah yang bersaiz lebih besar berbanding sebelumnya.

Pengetuanya, Zaliha Mat Jusoh berkata, pelajar sekolah itu wajib memiliki buku tersebut yang digunakan untuk mencatat peraturan sekolah ketika diingatkan dalam ucapan guru.

“Dengan cara mencatat peraturan sekolah setiap kali diingatkan guru dalam perhimpunan pagi, pelajar akan lebih mudah ingat dan sentiasa tahu apa yang boleh serta tidak boleh dilakukan di sekolah.

“Tujuan lain diadakan buku catatan ini adalah untuk melatih pelajar menulis kerana kebanyakan pelajar sekarang tidak suka menulis,” katanya.

Guru perempuan yang sedondon kuning sentiasa ‘sporting’ mengikut tema setiap kali perhimpunan pagi.

Menurutnya, sejak diadakan aktiviti itu, masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin berkurangan.

Kata Zaliha, melalui cara ini kesemua pelajar SMK Seri Nilam yang berjumlah 1,176 kesemuanya akan sentiasa ingat peraturan sekolah dan semakin rajin menulis.

“Pada perhimpunan pagi pelajar dibenarkan duduk bersila di dataran Nilam dan ini memudahkan mereka membuat catatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap buku catatan berkenaan akan menjadi teman pelajar setiap masa sepanjang berada di sekolah.

Pelajar tekun membuat catatan ketika perhimpunan pagi.