IPOH - Rata-rata pemandu bas sekolah menyambut baik cadangan penyelarasan lesen bas, insurans, cukai jalan dan  pemeriksaan Puspakom terhadap bas sekolah di seluruh negara.

Pemandu bas sekolah, R.Sivaraman, 56, berkata,  cadangan tersebut merupakan satu kaedah yang baik dan wajar dilaksanakan segera.

Menurutnya, penyelarasan itu membantu pengusaha menyediakan bas dengan dokumentasi lengkap untuk kegunaan orang ramai terutamanya pelajar sekolah.

“Penyelarasan ini memang bagus kerana dapat jimatkan masa, tenaga dan wang. Kalau tak sebelum ini kita kena buat kerja banyak kali.

“Enam bulan kena pergi Puspakom. Kalau tak lepas, tak boleh perbaharui cukai jalan.

Tak ada cukai jalan, bas tak boleh beroperasi. Ini boleh jejaskan pendapatan,” katanya ketika mengulas cadangan Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd Rifik Mohd Yusof sempena Mesyuarat Agung Gabungan berkenaan, semalam.

Pendapat berkenaan turut dipersetujui oleh seorang lagi pemandu bas sekolah, Kartini Mohd Razif, 35, yang menyifatkan penyeragaman berkenaan memang tepat pada masanya.

Katanya, sudah lama pemandu bas terutamanya bas sekolah sepertinya menantikan pengumuman sedemikian dan berharap cadangan itu dapat dilaksanakan segara.

“Memang bagus sekali cadangan ini. Semua urusan kita boleh selesaikan cepat.

“Dulu-dulu memang semua urusannya remeh nak dibuat tapi kalau ada penyelarasan nanti memang lega rasanya,” katanya.

Pemandu bas sekolah lain, Abdullah Yakob, 58, berkata, kerajaan perlu meluluskan segera penyeragaman bagi membantu pengusaha bas sekolah.

Katanya, penyeragaman memudahkan pengusaha bas termasuk orang ramai bagi mengelakkan sebarang kerumitan hanya kerana perkhidmatan bas sekolah tidak boleh beroperasi.