PERAK TENGAH - Buat sekian kalinya tandas Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kepayang menang lagi dalam pertandingan tandas walaupun kali ini mendapat  tempat ketiga dalam pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia.

Penyampaian hadiah dilakukan pada 18 Disember lalu di Dataran Tanjung Thu Must Johor sempena Karnival Hari Tandas Sedunia.

Murid SK Teluk Kepayang gembira menggunakan tandas yang bersih dan ceria.

 

Ia menambah koleksi pengiktirafan tandas sekolah itu setelah memenangi Pertandingan Tandas Ceria GPSBestari bagi 2016.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah itu, Rosniah Zainol Abidin berkata, SK Teluk Kepayang lebih bersemangat menceriakan sekolah selepas memenangi Pertandingan Tandas Ceria GPSBestari dua tahun lalu.

“ Selepas kemenangan Tandas Ceria GPS Bestari 2016, warga SK Teluk Kepayang lebih berdisiplin menjaga keceriaan dan kebersihan tandas.

“ Kemenangan Tandas Ceria GPS Bestari 2016 dan Tandas Bersih 1Malaysia ini dapat mengajar murid, warga sekolah dan orang awam untuk menjaga kebersihan tandas,”katanya.

Beliau berkata, penilaian Tandas Bersih 1Malaysia dilakukan pada September tahun lalu.

“ Murid dan guru berusaha menjaga kebersihan tandas dengan menghias dan menjalankan kempen guna tandas secara berhemah.

“ Murid juga akan dikawal ketika ingin keluar menggunakan tandas supaya mengelakkan murid keluar dengan kerap,”katanya.

 Keadaan luar tandas yang ceria

 

Rosniah berkata, pertandingan yang berprestij seperti Tandas Bersih 1Malaysia dan Tandas Ceria GPSBestari  dapat menaikkan nama SK Teluk Kepayang.

“ SK Teluk Kepayang terletak di pedalaman dan tentunya kemenangan ini melonjakkan nama sekolah,” katanya.

Kata beliau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang penting dalam setiap program yang dilakukan pihak sekolah.

“Kerjasama ahli PIBG mestilah kuat dalam membantu melakukan aktiviti dan merealisasikan kemenangan seperti ini,” katanya.

Keadaan tandas SK Teluk Kepayang yang bersih dan ceria hingga mendapat tempat ketiga pada pertandingan Tandas Bersih 1Malaysia.

 

Rosniah berkata, hubungan baik pihak sekolah dan PIBG dapat membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif.

“ Ini sebab persekitaran yang bersih dan ceria mampu menyumbang kepada kejayaan murid,” katanya.