SRAR Al-Bayan Taman Melor tiada kemudahan lengkap, bangunan tetap

Tidak pernah terfikir dalam suasana negara sedang membangun dengan pelbagai kemudahan tetapi masih ada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) yang begitu daif dan menyayat hati.

Namun realitinya itulah yang berlaku di SRAR Al-Bayan Taman Melor, Teluk Intan, apabila segelintir muridnya terpaksa belajar di bawah garaj ekoran tidak mempunyai bangunan tetap.

Keadaan sekolah yang menempatkan 150 murid tahun satu hingga enam ini, cukup memilukan hati sesiapa sahaja melihatnya kerana tidak mempunyai kemudahan lengkap sebagaimana SRAR yang lain.

Namun kekurangan tersebut tidak menjadi penghalang buat mereka untuk hadir ke sekolah, begitu juga guru-gurunya yang memerah keringat mengajar dalam keadaan panas atau hujan.

Ditubuhkan pada 2008, SRAR Al-Bayan menumpang di Masjid Al-Maaidah, Lorong 6, Taman Melur dan ketika itu sesi pembelajaran diadakan di dalam kelas ekoran murid tidak ramai.

Guru Besar SRAR Al-Bayan, Hambali Marsit ketika ditemui Sinar Harian berkata, ketika itu jumlah murid tidak sampai 100 orang.

“Namun jumlah berkenaan bertambah tahun demi tahun sehingga kami terpaksa mengehadkan pengambilan kepada 150 orang sahaja walaupun permohonan yang diterima melebihi dari jumlah tersebut.

“Tiada apa yang boleh kami lakukan, jika ambil murid lebih ramai mereka terpaksa berhadapan masalah tidak selesa kerana kelas tidak mencukupi hingga terpaksa belajar di bawah garaj,” katanya.

Menurut Hambali, murid tahun satu, dua, empat dan lima ditempatkan di dalam kelas manakala murid tahun tiga dan enam di luar kelas.

“Walaupun murid tahun satu, dua, empat dan lima ditempatkan di dalam kelas, ia bukanlah kelas sebenar tetapi dewan masjid yang dipecahkan bagi menempatkan mereka.

“Manakala murid tahun tiga di bawah garaj depan dan diikuti murid tahun enam di garaj belakang bersebelahan masjid yang berbumbung,” katanya.

Hambali berkata, pihaknya sebelum ini sudah banyak kali melakukan permohonan membina sebuah bangunan dua tingkat untuk menempatkan murid SRAR Al-Bayan.

“Namun permohonan tidak berjaya kerana kami tidak mempunyai tapak. Saya berharap ada pihak membantu kami menyelesaikan masalah ini.

“Bersebelahan masjid ini ada satu padang permainan yang mana saya rasakan boleh digunakan untuk membina bangunan SRAR dua tingkat,” katanya.


Cikgu baharu terkejut lihat keadaan sekolah

Pengalaman mengajar di beberapa sekolah agama rakyat sebelum ini membuatkan Shariza Che Man, terkejut apabila ditugaskan di SRAR Al-Bayan pada 2013.

Dia yang juga guru kelas tahun lima di SRAR Al-Bayan berkata, keadaan di sekolah berkenaan amat mengejutkan kerana terdapat murid yang belajar di bawah garaj.

“Sekolah yang saya ajar sebelum ini tidak seperti Al-Bayan dan saya difahamkan inilah satu-satunya SRAR yang tidak mempunyai pembangunan sepatutnya.

“Selain belajar di bawah garaj, murid juga terpaksa bersempit di dalam kelas kerana ruangnya sangat terhad dan saya kasihan melihat anak-anak kecil ini belajar dalam keadaan kurang selesa,” katanya.

Menurutnya, setiap kali hujan, bukan sahaja barang milik murid basah malah peralatan mengajar juga rosak apabila sering terkena air hujan seperti papan putih.

“Selain itu, kami juga terpaksa berhadapan dengan situasi menyedihkan bila ada ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka di sekolah ini tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tempat terhad.

“Ada juga yang bertanya mengapa tak buat lebih besar lagi sekolah ini, tetapi kami hanya tersenyum menjawab bahawa kita tidak mempunyai tapak lagi,” katanya.

Bagi Guru Penolong Kanan SRAR Al-Bayan, Nor Diana Nordin berkata, selain belajar di bawah garaj terdapat juga kelas yang menggunakan dapur Masjid Al-Maaidah.

“Itu pun dibenarkan atas ihsan kariah masjid yang melihat kami tiada kelas mencukupi buat anak-anak mereka yang belajar di sini.

“Kalau hujan jangan cakaplah, pernah satu ketika semasa semua murid sedang solat berjemaah hujan lebat, selesai solat habis semua beg dan buku basah,” katanya.

Tambahnya, SRAR Al-Bayan adalah satu-satunya SRAR yang masih menumpang di bangunan bukan miliknya dalam Teluk Intan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memiliki bangunan sendiri.

“Bila peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Sijil Rendah Agama Islam Negeri Perak (SRAI), kita terpaksa tumpang sekolah lain.

"Murid terpaksa ke sekolah berdekatan untuk menduduki peperiksaan dan jika ibu bapa tidak dapat hantar anak mereka, kami akan uruskan,” katanya.

 

Baju, buku murid basah bila hujan

Walaupun rasa kurang selesa belajar di luar kelas dan di bawahgaraj, seorang murid tahun enam, Amir Adam Mohd Khan, 12, tetap hadir ke sekolah.

Menurutnya, pada mulanya dia mempunyai perasaan tidak mahu ke sekolah apabila terpaksa belajar di dalam kelas sempit dan kemudiannya di bawah garaj.

“Tapi saya tak boleh malas ke sekolah kerana mak dan ayah pesan belajar rajin-rajin kalau nak berjaya, jadi saya teruskan juga dan tak anggap ia sebagai halangan lagi.

“Tapi kadang-kadang ada juga rasa kecil hati bila dengar kawan-kawan sekolah kebangsaan bersembang sekolah agama rakyat mereka ada macam-macam dan tak belajar di luar kelas atau bawah garaj,” katanya.

Amir Adam berkata, jika hujan dia dan rakan-rakannya terpaksa menumpang berteduh dalam kelas lain.

“Kalau hujan lebat dan angin kuat, ustazah akan berhenti mengajar kerana tempias, waktu itu habis semua buku, baju dan kasut basah, air mula penuh atas lantai.

“Bila hujan berhenti baru kami sambung belajar walaupun masa itu kasut dan baju sudah basah,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Nur Irdina Batrisya Mohd Khan, 9, pula berkata, dia seronok belajar di bawah garaj berbanding di dalam kelas.

“Saya sekolah di sini dari darjah satu lagi, masa itu saya duduk dalam kelas sampai tahun dua dan tahun ini saya belajar di bawah garaj.

“Saya suka sebab dekat luar sejuk, ada angin, tak sempit macam dalam kelas dan duduk atas kerusi berbanding duduk bersila dalam kelas,” katanya.

Namun katanya, bila hujan dia tidak suka belajar di luar kerana beg, kasut, baju dan bukunya akan basah terkena air.

"Saya dan kawan-kawan juga kena berlari cari tempat berteduh," katanya.

Amir Adam tekun belajar walaupun bukan di dalam kelas yang selesa.

 

Murid SRAR Al-Bayan capai keputusan cemerlang dalam UPKK, SRAI

Hati ibu mana tidak sedih apabila melihat anaknya belajar di bawah garaj dan bila pulang mengadu habis buku, baju dan kasut basah jika hari hujan.

Itu situasi yang dihadapi Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Taman Melor, Sofiah Ishak yang sebelum ini mempunyai anak perempuan bersekolah di SRAR Al-Bayan.

“Bukan saya seorang sahaja menghadapi situasi sama, malah rata-rata ibu bapa yang menghantar anak mereka bersekolah di sini juga melahirkan rasa sedih dengan keadaan sekolah agama rakyat ini.

“Tapi apakan daya, hanya inilah sekolah yang terdekat dan memudahkan lebih 1,000 penduduk dari taman ini dan kawasan berhampiran menghantar anak-anak mereka mempelajari agama,” katanya.

Menurut Sofiah, perkara ini sudah berlarutan sejak sekolah tersebut dibuka dan banyak kali masalah ini dibangkitkan penduduk dalam mesyuarat yang diadakan.

“Ibu bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak mereka belajar di bawah garaj lebih-lebih lagi bila hujan dan petir.

“Alhamdulillah buat masa ini tiada apa yang tidak diingini berlaku disini, tetapi pihak terlibat perlu mengambil tindakan segera memikirkan penyelesaian untuk sekolah ini,” katanya.

Sofiah yang kini turut mempunyai seorang cucu yang bersekolah di SRAR Al-Bayan turut menekankan walaupun belajar dalam keadaan serba kekurangan mereka tetap memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama.

“Ramai murid di sekolah ini memperoleh keputusan cemerlang dalam UPKK dan ujian SRAI. Ada yang dapat 8A bagi UPKK dan 5A bagi SRAI.

“Sebagai buktinya, anak perempuan saya memperoleh keputusan cemerlang dalam dengan memperoleh 8A dalam UPKK dan 5A SRAI, begitu juga beberapa orang rakan-rakanya,” katanya.

Tambahnya, sudah sampai masanya pihak terlibat sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat untuk memberi perhatian serius kepada masalah yang dihadapi SRAR Al-Bayan.

“Bantulah kami, tolonglah kami kerana sudah hampir 10 tahun anak-anak taman ini belajar dalam keadaan serba kekurangan. Sampai bila masalah ini akan berterusan,” katanya.