IPOH - Sebahagian Kompleks Al Barakah berpusat di Manjoi, yang diselia pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias kini ditawarkan untuk dijual.

Maklumat itu diperoleh melalui satu iklan laman sesawang mudah.my yang dimuat naik sejak 7 Julai lalu.

Melalui paparan itu, sebahagian kompleks dikenal sebagai Bangunan Tahfiz Darul Barakah yang berkeluasan 0.68 hektar ditawarkan dengan harga RM5 juta.

Berdasarkan butiran maklumat disertakan dalam iklan tersebut, bangunan tahfiz itu dilengkapi tiga blok kuarters guru, enam bilik darjah, empat bilik dorm asrama, kantin, pondok pengawal, stor dan surau.

Paparan itu mengejutkan banyak pihak kerana kompleks berkenaan dikenali umum sebagai pusat pengajian Islam dan tahfiz melahirkan generasi celik al-Quran.

Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Mohd Kazim mengesahkan, paparan iklan itu adalah benar dan akan menjelaskan lebih lanjut menerusi satu sidang media.

“Buat masa ini, saya mengakui keputusan mengiklankan dan menjual Bangunan Tahfiz Darul Barakah adalah sahih. Esok pagi (hari ini) saya akan menjelaskan segala-galanya,” katanya.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Mohd Kazim memberi bayangan berdepan masalah kewangan dalam menguruskan pentadbiran bangunan terbabit.

“Saya membinanya dengan nilai keselesaan, cantik dan sejuk mata memandang, sangat tinggi nilai halus kepada setiap pengunjungnya dan di sinilah tempat awal rakaman rancangan ‘Kalau Dah Jodoh’ (rancangan disiarkan Astro).

“Namun, saya manusia biasa, berseorangan ke hulu ke hilir mencari sesuatu yang boleh menampung, penat, uzur, apatah lagi semakin sukar bergerak menjadikan semuanya semakin terbatas.

“Memang tidak sanggup berpisah dengan sekolah ini, tetapi kalau berterusan begini, maka perpisahan dan penutupan jalan terbaik,” tulisnya.

Maahad tahfiz yang beroperasi sejak enam tahun lalu kini menempatkan 130 pelajar dan sebahagian besar yuran pengajian ditanggung Mohd Kazim sendiri.

MENGENAI AL BARAKAH

- Pada 1995, Datuk Mohd Kazim Elias mengambi inisiatif membuka kelas pengajian kepada orang ramai di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Maxwell, Ipoh. Apabila jumlah pelajar semakin bertambah, kelas itu berpindah ke rumah kedai dua tingkat di Silibin di bawah nama Sedaya Irham.

- Pada 2004 melalui satu lelongan awam di Mahkamah Ipoh, sebidang tanah dibeli dengan harga RM45,000. Di tanah lot beralamat Jalan Pemimpin, Kampung Manjoi, Makam Ulu Kinta, Perak didirikan bangunan Pusat Pendidikan Al Barakah pertama. Pusat itu didirikan hasil sumbangan wakaf orang ramai bagi menampung jumlah pelajar mengikuti kelas pengajian yang semakin meningkat.

- Pada 21 Oktober 2006, Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Al Barakah dilengkapi bangunan surau dan pondok moden berjumlah 52 buah disempurnakan Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali. Pusat Pendidikan Al Barakah terus berkembang dengan pesat.

- Daripada memiliki sebidang tanah kini Pusat Pendidikan Al Barakah telah memiliki enam bidang tanah, terletak berhampiran antara satu sama lain. Kini Pusat Pendidikan Al Barakah telah mempunyai kelas pengajian, dibahagikan kepada tiga iaitu pengajian dewasa, Kafa dan Pengajian Tahfiz.

- Atas sumbangan orang ramai, pusat berkenaan berjaya mendirikan bangunan dan asrama penginapan pelajar maahad tahfiz dan menambah kakitangan khasnya guru agama dan akademik bertauliah.

- Pusat Pendidikan Al Barakah terus membangun dan mengubahsuai dewan besar sedia ada yang boleh menampung lebih 400 orang di mana kelas pengajian dewasa dijalankan, surau yang boleh memuatkan 300 jemaah dalam satu-satu masa, bangunan pentadbiran, Sekolah Agama Al Barakah dan pondok moden. Jumlah pondok juga telah bertambah dari 52 ke 80 buah.