Kangar - Disambut seperti raja sehari. Inilah gambaran majlis persaraan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan (P) Kangar, Shabariah Othman yang disambut gilang gemilang.

Majlis yang bertemakan 'Raikan Cinta' itu memerlukan Shabariah dan suaminya Mohd Sokri Hussin yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu mengenakan busana pengantin.

Shabariah ketika merasmikan Taman Herba pada majlis persaraannya sambil diperhatikan Mohd Sokri.

Shabariah dan Mohd Sokri melawat Taman Herba SMKA (P) Kangar

Pada majlis itu, Shabariah dan Mohd Sokri diarak dengan menaiki kereta kuda ke Dewan Az-Zahra sekolah itu sebelum disambut dengan bunga manggar dan paluan kompang.

Shabariah dan Mohd Sokri diiringi oleh Kaunselor, Ruzaimi dan Guru Ekonomi Asas, Sarezuana menuju ke Dewan Az-Zahra untuk disandingkan

Lebih menarik, dua anak pasangan itu yang merupakan pelajar sekolah tersebut membuat persembahan silat dan gimik dengan membawa cincin untuk disarungkan Mohd Sokri pada jari isterinya.

Mereka kemudiannya disandingkan seperti pengantin baharu.

Shabariah dan Mohd Sokri disandingkan di Dewan Az-Zahra SMKA (P) Kangar

Shabariah ketika ditemubual berkata, ia menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam hidupnya.

"Saya terharu dengan sambutan yang diadakan ini.. dan akan saya kenang hingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan guru mengenai sambutan ini, dan diminta mengenakan busana pengantin, tapi tak sangka majlis sehebat ini yang dilakukan," katanya.

Lukisan Shabariah dan Mohd Sokri yang dihasilkan Guru Pendidikan Seni Visual Mohd Khairil Azmir

Kepada rakan guru, beliau sempat berpesan agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mudah putus asa.

"Saya harap anda semua dapat berkhidmatlah dengan cemerlang dan didiklah anak didik di sekolah ini dengan penuh dedikasi kerana ia akan mencerminkan diri kita sebagai seorang guru.

"Berkorbanlah demi kecemerlangan sekolah kita,” katanya ketika berucap.

Pegawai dari JPNP yang turut memeriahkan majlis

Selain itu, beliau turut menasihatkan pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa menghormati ibu bapa serta guru.

"Sebelum saya keluar dari sekolah ini, belajarlah bersungguh-sungguh hingga berjaya. Tanamkan rasa hormat terhadap ibu bapa dan guru yang telah banyak berkorban masa serta tenaga mencurahkan ilmu kepada kamu semua supaya berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh warga sekolah yang telah bersama mambanting tulang membawa nama sekolah kepada masyarakat luar dan mencipta kejayaan demi kejayaan bagi mengharumkan lagi nama SMKAP Kangar.

“Sudah semestinya saya akan merindui suasana, guru dan pelajar di sini kerana sekolah ini telah mengajar saya pelbagai pengalaman sepanjang lebih kurang enam tahun perkhidmatan saya sebagai pengetua di sini,” katanya.

Antara pelajar yang terbabit dalam sambutan pada majlis persaraan Shabariah.

Beliau kemudiannya diberi penghargaan merasmikan Taman Herba dan bergambar dengan pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNP) yang turut hadir.

Shabariah dan suami sekali lagi diarak menaiki kereta kuda pulang ke rumah yang jaraknya 1.5 kilometer dari sekolah.

Shabariah dan Mohd Sokri diarak menaiki kereta kuda pulang ke rumahnya

Shabariah mengetip kad perakam waktu sebelum pulang pada hari terakhir perkhidmatannya

Shabariah bersama Penolong Kanan Pentadbiran, Rohana Mat