Kangar - Walaupun sekadar mendapat sagu hati dalam Pertandingan Mural anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini namun pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Alawiyah tetap tidak berputus asa.

Keputusan itu diumumkan pada majlis pengumuman dan penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Auditorium, KPM, Putrajaya, 27 Februari lalu.

Guru Seni Khairil Azmir Ahmad berkata, pada tahun ini kami kurang bernasib baik dan hanya dapat saguhati walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

“Tahun ini kami menampilkan mural konsep setem untuk memenuhi tema 1Malaysia Negaraku.

“Bagi mendapatkan idea, kami iklankan kepada pelajar agar menghantar lukisan mengikut tema berkenaan,” katanya.

Mural berkonsepkan setem yang hampir disiarkan pelajar dan guru SMKA(P) Alawiyah untuk pertandingan mural 1Malaysia Negaraku anjuran KPM.

Kata beliau, sebanyak empat lukisan dipilih dan pihaknya menggabungkan idea pelajar berkenaan dan menyampaikannya dalam bentuk setem.

“Setem dipilih sebagai medium untuk menyampaikan tema kali ini memandangkan setiap acara mempunyai setem khas tertentu,

“Kami menggabungkan idea pelajar dan guru untuk menghasilkan mural setem,” katanya.

Pelajar dan guru bertungkus lumus selama dua minggu untuk siapkan mural berkenaan. 

Empat lukisan pelajar yang dipilih adalah hasil karya Nur Alya Sofia Zairi dari kelas 4 Zainab, Nurzarifah Zainurin (4 Ummi Kalsom), Siti Nursolehah Tahrim (4 Ummi Kalsom) dan Ummie Nur Fathirah Asmawi (4 Siti Aisyah).

Empat pelajar bersama guru pengiring ketika menunggu keputusan pertandingan diumumkan di Dewan Auditorium, KPM, Putrajaya.

Dari kanan: Nur Alya Sofia, Nurzarifah, Khairil Azmir, juri pertandingan mural Lal Mural, Siti Nursolehah dan Ummie NurFathirah.

Tambah duit persatuan

Kata Khairil Azmir, setiap sekolah menerima peruntukan RM600 daripada penganjur dan pihaknya menambah RM400 lagi yang diperoleh daripada Persatuan Seni Lukis sekolah bagi menghasilkan mural berkenaan.

“SMKA(P) Alawiyah berentap dengan 75 sekolah lain dari seluruh negara dalam pertandingan yang berlangsung sebulan berakhir Disember lalu.

“Pada Disember, seorang jurufoto datang ke sekolah dan mengambil gambar mural dan dicetak untuk dinilai lima juri di KPM,” katanya.

Pelajar tingkatan tiga, Nur Syafika Ahmad Rafiqi menyiapkan lukisan untuk pertandingan mural 1Malaysia Negaraku.

Dua pelajar ini bertungkus lumus menyiapkan mural 1Malaysia Negaraku.

Pasukan SMKA (P) Alawiyah membawa pulang wang RM1,000 dan sijil.

Sementara itu, Nurzarifah berkata, dia agak kecewa tidak berjaya mendapat johan namun tetap bersemangat untuk mencuba lagi pada tahun hadapan.

“Kami telah berusaha bersungguh-sungguh.. bukan rezeki kami kali ni, tapi tahun depan kami akan cuba lagi,” katanya.

Pada 2015, SMKA(P) Alawiyah mendapat tempat ketiga pada pertandingan sama dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Seorang bapa pelajar, Khairil Azrizal Bahari turut membantu mengecat mural yang akan dipertandingkan.

Dari kanan: Nurzarifah, Nurfathirah, Siti Nursolehah dan Nur Alya Sofia bersama gambar mural sekolah mereka sebelum keputusan diumumkan.

Dari kanan: Nurzarifah, Nurfathirah, Siti Nursolehah dan Nur Alya Sofia ketika di Dewan Auditorium, KPM, Putrajaya.

Antara mural yang dihasilkan guru dan pelajar menghiasi SMKA(P) Alawiyah.

Dinding SMKA(P) Alawiyah sebelum dan selepas dihasilkan mural 1Malaysia Negaraku.

Pelajar tingkatan enam Nur Adibah Saad bergambar di hadapan mural 3D di sekolah.