PUTRAJAYA  - Pusat Anak Permata Negara (Permata), yang diilhamkan Datin Seri Rosmah Mansor, mendapat pengiktirafan antarabangsa atas
pencapaian cemerlangnya dalam kebajikan kanak-kanak.
    
Penaung Permata itu yang merupakan penggalak utama kebajikan kanak-kanak sejak program berkenaan diperkenalkan pada 2007, akan menerima sendiri anugerah tersebut bagi pihak Permata.
    
Isteri Perdana Menteri dijangka menerima Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G Awards) 2016 yang julung kali diadakan pada majlis di sebuah hotel di sini hari ini (10 malam waktu tempatan) di bawah Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G.

Kanak-kanak Permata Seni bakal membuat persembahan sempena Malam Anugerah 'Global Good Governance Award 2016' malam ini
-- fotoBERNAMA

Pengerusi Eksekutif Cambridge IF Analytica Prof Humayon Dar berkata Permata yang menumpukan kepada usaha mengetengahkan bakat dan kualiti kepimpinan kanak-kanak, sejak dari mula mendapat undian besar dari seluruh dunia, menewaskan calon lain dalam kategori itu.
    
“Anugerah ini adalah pengiktirafan kepada usaha cemerlang Permata sejak beberapa tahun lalu dan kami percaya Anugerah 3G ini adalah kemuncak kepada kejayaan Permata di peringkat antarabangsa,” katanya dalam wawancara sebelum majlis anugerah itu.

Sambil memuji model Permata sebagai contoh terbaik, beliau berkata program itu tidak menumpukan kepada kanak-kanak yang berdepan krisis, sebaliknya membawa kanak-kanak berbakat untuk dijadikan peneraju dalam bidang yang menjadi pilihan.

      Aksi comel kanak-kanak Permata Seni memikat hati pengunjung.

“Tidak banyak contoh kejayaan seperti ini dan saya harus mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia dan sudah tentu Permata yang berjaya mengendalikan isu penting ini (kebajikan kanak-kanak),” katanya.
    
Katanya, dengan menonjolkan kejayaan Permata, negara lain yang mahu meningkatkan kebajikan kanak-kanak boleh menjadikannya sebagai contoh ikutan.
    
“Kami mahu seluruh dunia melihat kejayaan Permata dan mencontohinya.

“Ini sememangnya amat penting dan saya berpendapat ia adalah baik untuk kemanusiaan, yang datang dari Malaysia, datang dari Permata, mempamerkan bakat yang dipupuk dari usia muda,” katanya.

Masyarakat tempatan di Turki mengambil kesempatan mengabadikan kenangan bersama kanak-kanak Permata Seni yang membuat persembahan untuk rakyat tempatan di              Lapangan  Terbang Sabihah Gokcen, Istanbul, petang semalam.

Kemuncak kejayaan Permata di pentas antarabangsa, kata Dar, adalah persembahan daripada 60 kanak-kanak Permata Seni yang akan mempersembahkan koir, tarian dan muzik orkestra.
    
Semalam, mereka memberi persembahan 30 minit kepada penduduk tempatan di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di Istanbul, sebagai pentas awal menjelang majlis
anugerah itu.
    
Selain Permata, Malaysia turut dijangka menerima empat anugerah lain daripada 24 kategori.

Rosmah merangkap Penaung Permata diberi sambutan hangat ketika tiba di Hotel Hyatt Regency Atakoy malam semalam.    Beliau menerima Anugerah 3G Children Welfare Award kerana kejayaan dalam membangunkan program Permata yang akan berlangsung malam ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Permata bersalaman dengan kanak-kanak Permata Seni ketika tiba di Hotel Hyatt Regency Atakoy malam semalam.

Empat penerima lain adalah Universiti Teknologi Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia, Agro Bank dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
    
Dibangunkan oleh sebuah badan perkhidmatan kewangan, Cambridge IF Analytica, Anugerah 3G diberi kepada kerajaan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan bagi kecemerlangan dalam ketelusan, tadbir urus serta tanggungjawab sosial. - BERNAMA