Lembik! Itu persepsi yang pernah diterima anak jati Kampung Dusun, di sini ketika di awal bangku sekolah rendah dahulu dek kerana perwatakannya yang pendiam dan sopan santun.

Namun, siapa sangka kini Ahmad Lokman Rasdi, 17, bukan sahaja membanggakan orang kampung kerana kian menyinar di pentas sukan bola tampar tetapi juga sekolah lamanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun yang menjadi lubuk melahirkan permata bola tampar seperti Ahmad Lokman.

Bakatnya mula dihidu guru SK Dusun yang juga jurulatih bola tampar SK Dusun, Wan Azmi Wan Ismail ketika Ahmad Lokman di darjah empat dan kecemerlangannya membolehkan remaja ini menyambung pelajaran sekolah menengah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor.

Pencapaiannya sehingga kini bukan sekadar juara pasukan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tetapi pernah beberapa kali dinobatkan penerima Anugerah Server Terbaik dan dia juga masih dipanggil bermain mewakili pasukan Terengganu dalam kejohanan bola tampar.

Ahmad Lokman berdiri di sebelah gegantung terpampang gambarnya yang dipasang menghiasi SK Dusun.

Awalnya tidak begitu minat

Ahmad Lokman yang memiliki ketinggian 182 sentimeter (cm) ini berkata, jurulatih bola tampar SK Dusun melihat potensi awal yang ada dalam dirinya lalu melatihnya sebelum dia dapat tunjuk ajar  lebih menyeluruh dan lebih baik di SSTMI.

"Awalnya saya tak begitu minat tapi orang kata tak kenal maka tak cinta.

"Lama-lama saya suka sukan bola tampar ini sehinggakan tak ada cikgu pun saya dan kawan-kawan sanggup ke sekolah main bola tampar waktu sekolah rendah dulu," katanya.

Menurutnya, berkat latihan demi latihan, dia terpilih bermain di pelbagai peringkat kejohanan.

"Kemenangan yang berjaya dirangkul tambahkan lagi rasa cinta saya dalam arena sukan bola tampar ini. Keluarga juga banyak sokong.

"Jurulatih, guru dan pihak sekolah juga pendorong terbesar saya. Mula dari kosong, sekarang saya jadi atlet bola tampar dan harap dapat rangkul kejayaan dalam kejohanan yang lebih besar atau berprestij," katanya.

Malah katanya, dia memasang impian bermain di Sukan SEA dan berharap ia menjadi kenyataan suatu hari ini.

"Sebelum ini saya pernah sertai kejohanan dekat Singapura, sekarang saya dalam peringkat pemilihan kelayakan untuk wakili negara dalam satu kejohanan bola tampar yang diadakan di Iran," katanya.

Tambah anak bongsu dari enam beradik ini, ketika berada di gelanggang bola tampar, ia tidak hanya memerlukan tenaga dan strategi permainan tetapi turut menuntut kekuatan mental pemain agar tidak tertekan terutamanya apabila berentap di pentas akhir perlawanan.

Ahmad Lokman (berdiri, empat kiri) sewaktu mewakili Terengganu dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 16 Tahun Milo-Malaysia Kali Ke-17 di Cyberjaya

Kurang yakin dengan anak murid

Sementara itu, menurut Wan Azmi, individu yang menggilap bintang Ahmad Lokman, bekas anak didiknya itu bukan hanya tidak mudah berputus asa tetapi tidak pernah membantah segala disuruh walaupun murid lain ada berseloroh penat atau macam-macam.

Menurutnya, pada awalnya dia kurang yakin anak muridnya itu dapat beraksi agresif di gelanggang kerana Ahmad Lokman seorang yang agak pendiam.

"Tetapi naluri saya yakin dia dapat dibentuk dan dilatih hingga berjaya kerana kelebihannya iaitu tinggi berbanding rakan sekolah lain ketika itu.

"Syukur permata SK Dusun yang dilahirkan dalam bidang bola tampar ketika sekolah rendah dulu terus bersinar bintangnya hingga kini. Tentu ia membanggakan sekolah apatah lagi SK Dusun adalah sekolah kluster kecemerlangan bola tampar," katanya.