MARANG - Pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang yang menelan belanja RM8.4 juta dan dijangka siap pada Julai 2019.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata,  beliau difahamkan PPD Marang memberi perkhidmatan kepada 21,047 murid, 2,099 guru dan 43 sekolah.

"Tidak ketinggalan juga, seramai 105,100 penduduk meliputi empat Dun dalam kawasan Parlimen Marang,” katanya pada majlis pecah tanah di tapak pembinaan PPD Marang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A Latiff Awang.

Mahdzir berkata, PPD Marang telah meraih banyak kejayaan antaranya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) apabila mendapat kedudukan terbaik dari segi PNGK di Terengganu pada 2014 dan 2016, selain turut mempunyai lima sekolah amanah dan tujuh sekolah transformasi.

Bagaimanapun katanya, pihak pengurusan PPD juga perlu bertindak dan berperanan sebagai mata serta telinga kerajaan.

“Pegawai PPD hendaklah menerima semua aduan dan pandangan secara profesional, mendengar suara hati rakyat sekali gus berusaha menjawab segala isu berkaitan pendidikan dibangkitkan.

“Selain itu, mereka juga perlu menjadi perantaraan untuk menyalurkan segala pandangan kepada agensi lain,” katanya.

Simbol kecemerlangan pendidikan

Menurutnya, kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai bantuan persekolahan kepada murid-murid antaranya Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu 1Malaysia, Bantuan Awal Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia, Bantuan Makanan Asrama dan lain-lain.

Katanya, bantuan itu diberikan agar semua murid yang memerlukan dapat belajar dalam keadaan lebih baik dan berjaya dalam hidup.

Susulan itu katanya, PPD perlu bertindak sebagai pemantau dan penyelaras bagi memastikan tiada murid tercicir daripada menerima bantuan disediakan kerajaan.

“Saya benar-benar menaruh harapan agar bangunan PPD Marang yang dijangka siap Julai depan ini akan berfungsi sebagai mercu tanda pendidikan daerah. Sekali gus menjadi simbol kecemerlangan pendidikan yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Ia juga simbol perpaduan masyarakat apabila pelbagai latar belakang politik boleh duduk semeja dan berbincang dengan harmoni demi kemaslahatan ummah,” katanya.

Mahdzir juga berharap agar PPD Marang menjadi pusat sehenti perancangan dan pembangunan kemenjadian murid, kemenjadian guru dan kemenjadian sekolah.

“Kerjasama dan rangkaian strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan lain, NGO dan badan-badan sukarela amat perlu untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan iaitu kemenjadian murid dan sekolah berkualiti," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar semua agensi dapat menghulurkan pelbagai bentuk bantuan untuk mencapai hasrat yang diimpikan.