Seramai 752 daripada 23,105 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Mohd Jamil Mohamed berkata, secara keseluruhannya prestasi keputusan SPM di negeri itu meningkat dengan merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.78 berbanding 4.85 pada 2016.

“Sebanyak 17,138 calon daripada 20,789 layak mendapat sijil, manakala prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu mencatatkan peningkatan sebanyak 5,702 pelajar mendapat A berbanding 4,269 pelajar pada SPM 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pengu-muman Keputusan SPM 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Irshad, Pokok Sena.

Katanya, terdapat 23 sekolah di negeri ini mencapai prestasi 100 peratus iaitu semua calon layak mendapat sijil.

“Untuk kawasan Sebe-rang Perai Utara antaranya Madrasah Khairiah Islamiah, SMKA Al-Irshad, SMJK Chung Ling Butterworth, manakala untuk kawasan Seberang Perai Tengah antaranya Sekolah Menengah Islam Al-Masriayah, SMK Tinggi Bukit Mertajam.

“Manakala untuk Seberang Perai Selatan, SMKA Seri Nibong, SMKA Syeikh Abdullah Fahim, untuk kawasan Timur Laut antaranya, SMK Bukit Jambul, SMT Tunku Abdul Rahman dan bagi kawasan Barat Daya, SMA Maahad Al-Maashor Al-Islami,” katanya.

Menurutnya, calon cemerlang dalam SPM 2017 juga turut mencatatkan peningkatan kali ini.

“Seramai 16 pelajar yang mendapat keputusan semua A+ berbanding lima pada SPM 2016 lalu.

“Manakala, seramai 736 calon mendapat kombinasi A+,A dan A- bagi SPM 2017 berbanding 656 calon pada SPM 2016,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 10 sekolah mencatatkan Gred Purata Sekolah terbaik dalam SPM 2017 ini.

“Ia merangkumi lima sekolah bagi daerah Timur Laut, tiga bagi daerah Seberang Perai Tengah dan dua daerah Seberang Perai Utara.

“Seramai dua calon berkeperluan khas iaitu dari SMK Georgetown mendapat 5A+ 2A- dan 2A+, 3A, 1A dan 1B+ yang mana kedua-duanya buta,” katanya.