GEORGETOWN - Dua sekolah ditutup di Pulau Pinang berikutan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar.

Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shih Chung dan Sekolah Antarabangsa Tenby diarah tutup sepenuhnya selepas jangkitan penyakit itu dikesan di kedua-dua sekolah terbabit.

Menurutnya, di SJKC Phor Tay, hanya enam kelas ditutup manakala SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun masih dipantau.

Katanya, kesemua sekolah yang diarahkan tutup itu akan ditutup selama 10 hari iaitu bagi tempoh dua kali jangkitan virus.

“Bilangan keseluruhan fasiliti yang diarah tutup sejak Januari lalu adalah 61, namun hanya 17 masih ditutup sehingga kini. Sehingga 10 Julai lalu, dua sekolah rendah, 13 tadika dan sebuah pusat jagaan dan sebuah taska diarah tutup.

“Ada sekolah yang hanya beberapa kelas sahaja ditutup, namun jika kelas yang sama diguna untuk sesi pagi dan petang, maka seluruh sekolah akan diarah tutup,” katanya, semalam.

Menurutnya, sehingga 28 Mei lalu, jumlah dilaporkan sebanyak 21,644 berbanding 19,398 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sehingga 10 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan 1,679 kes HFMD berbanding hanya 1,073 kes pada tempoh sama tahun lalu. Iaitu, peningkatan sebanyak 56.6 peratus.

"Sebanyak 63 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya 11 kluster dilaporkan pada 2017. Ia menunjukkan peningkatan 472 peratus. Sehingga kini, hanya empat pesakit masih dirawat di hospital iaitu dua di Hospital Pulau Pinang dan dua di Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, peningkatan HFMD di negeri ini ketara namun masih terkawal.

Katanya, sehingga kini, 622 daripada 854 fasiliti dipantau dan dijalankan ujian saringan ke atas kanak-kanak di seluruh Pulau Pinang.

“Kita buat lawatan ke semua taska, pra sekolah dan tadika untuk tujuan pemantauan, memberi nasihat kebersihan dan ujian saringan. Sehingga kini, 72.8 peratus (622 fasiliti)  telah dilawati.

“Walaupun peratusan kes meningkat 56.47 peratus berbanding tahun lalu, namun ia masih terkawal. Tidak perlu bimbang. Cuma kita perlu kerjasama ibu bapa atau penjaga tidak bawa keluar anak mereka yang dijangkiti HFMD ke tempat awam,” katanya.

Jelasnya, jangkitan HFMD boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan diri, antaranya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas mencuci najis  kanak-kanak.