PUTRAJAYA - Ibu empat anak yang kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditamatkan kerana hamil sembilan tahun lalu, diberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am oleh Mahkamah Persekutuan, semalam.

Panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah memberikan ganti rugi tambahan RM10,000 kepada Noorfadilla Ahmad Saikin.

Mahkamah bagaimanapun mengetepikan ganti rugi RM10,000 diberikan Mahkamah Rayuan kepada Noorfadilla pada 2016 bagi kesengsaraan dan derita dialaminya.

Ahmad yang mempengerusikan panel itu membenarkan sebahagian rayuan Noorfadilla dan juga membenarkan sebahagian rayuan kerajaan.

Namun katanya, tiada keperluan untuk mahkamah buat keputusan berhubung tiga persoalan undang-undang berkaitan isu penilaian ganti rugi kerana melanggar hak di sisi perlembagaan.

Pada 2007, Noorfadilla menyaman pegawai pendidikan Daerah Hulu Langat, Chayed Basirun dan Ismail Musa, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Dr Zahri Aziz, ketua pengarah Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Noorfadilla memohon diisytiharkan penamatan kontraknya atas alasan hamil tiga bulan adalah tidak sah.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan penting bahawa kehamilan bukan alasan sah untuk Jabatan Pendidikan Selangor menafikan penggajian Noorfadilla sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Pada 10 November 2014, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Ahmad Rizki Abdul Jalil memberikan RM300,000 kepada Noorfadilla sebagai ganti rugi am bagi pelanggaran hak di sisi perlembagaan dan RM25,000 sebagai ganti rugi bagi tekanan emosi dan mental.

Pada Februari 2016, Mahkamah Tinggi mengurangkan jumlah ganti rugi itu sebanyak 90 peratus kepada RM30,000 atas alasan ia tidak wajar dan sama seperti mencatut.

Mahkamah Rayuan pada 2016 mengekalkan jumlah ganti rugi am itu dan memberikan RM10,000 kepada Noorfadilla bagi tekanan emosi dan mental.

Dia diberikan kebenaran merayu oleh Mahkamah Persekutuan tahun lepas, dan didengar hari ini.

Kerajaan juga mengemukakan rayuan balas.