PUTRAJAYA - Penguasaan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 sebanyak 66 peratus akan menjadi penanda aras bagi peperiksaan SPM 2018, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Beliau berkata KBAT, yang mula diperkenalkan pada tahun 2014, menunjukkan keupayaan calon menjawab soalan berdasarkan kemahiran berfikir yang diperlukan untuk menjawab soalan-soalan.

"Soalan-soalan yang dikemukakan memerlukan calon untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan mencipta,” katanya dalam sidang media mengumumkan analisis keputusan SPM 2017 di sini hari ini.

Ditanya sama ada 66 peratus itu melepasi sasaran yang ditetapkan, Amin berkata tahun 2017 merupakan tahun pertama analisis KBAT dikeluarkan dan tidak terdapat rujukan terdahulu.

Menurutnya, peratusan soalan untuk KBAT sentiasa meningkat setiap tahun, daripada 25 peratus  pada 2016 kepada 30 pada tahun lalu dan disasarkan meningkat sehingga 50 peratus menjelang 2020.

“Kita mahu melihat calon kita menguasai dan mampu memberi kualiti jawapan dengan baik. Pada SPM 2017, kita dapati pelajar hanya baik dari segi aplikasi, tetapi apabila sampai ke peringkat analisis, menilai dan mencipta, kualiti jawapan semakin menurun,” kata Amin.

Peperiksaan SPM 2017 mencatatkan 41 peratus calon dapat mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan fakta, teori, konsep, prinsip dan peraturan dengan betul, tepat, terperinci serta mendalam dalam semua konteks.

Katanya, 20 peratus calon memberikan jawapan pada kualiti yang sederhana, manakala 39 peratus calon pula memberikan jawatan yang rendah kualitinya.

Bagi soalan menganalisis pula, Amin berkata 27 peratus calon dapat menganalisis dan menginterpretasi  maklumat yang diperoleh dengan betul serta memberi penerangan yang terperinci dan jelas berserta bukti yang tepat.

Beliau berkata 40 peratus calon memberikan jawapan yang sederhana kualitinya, dan sejumlah 33 peratus pula memberikan jawapan dengan kualiti yang rendah.

Menurut Amin, bagi Kemahiran Menilai pula, sejumlah 29 peratus calon memberikan jawapan berkualiti tinggi bagi soalan yang menguji kemahiran menilai dengan kemampuan membuat pertimbangan menggunakan maklumat yang diberikan untuk menyelesaikan masalah, manakala 40 peratus dan 31 peratus calon masing-masing mencatat pencapaian sederhana dan rendah.

Dalam peperiksaan SPM 2017, 10 peratus calon dapat menghasilkan sesuatu yang baharu dengan perancangan yang sistematik dan berupaya mengemukakan bukti yang lengkap dan mempamerkan kematangan berfikir secara rasional dalam membuat pertimbangan bagi soalan yang menguji kemahiran mencipta.

Sebanyak 55 peratus calon pula memberikan jawapan pada kualiti sederhana dan 35 peratus pada tahap rendah, katanya. - Bernama