JELI - Berbeza dengan tahun sebelumnya, Sekolah Kebangsaan Lubuk Bongor (SKLB) buat julung kalinya memilih untuk memanfaatkan barangan terpakai sebagai alternatif menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Selain mengajar murid menghargai setiap sumber yang ada di sekeliling mereka, penggunaan barangan terpakai ini juga membantu pihak sekolah meminimumkan kos tetapi dalam masa sama memaksimumkan manfaat.

Tidak sekadar itu, sambutan kali ini juga lebih meriah dengan perarakan guru, murid dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) mengelilingi kampung sejauh lebih satu kilometer.

Kewujudan replika yang menghiasi kawasan sekolah dan pelbagai rekaan busana Jalur Gemilang digayakan kanak-kanak prasekolah tidak kurang hebatnya dalam menggambarkan semangat warga sekolah untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Pastinya ia bukan untuk suka-suka, sebaliknya menyedarkan warga sekolah dan masyarakat mengenai kehadiran bulan penuh bersejarah ini.

Ia juga untuk mengingatkan mengenai pengorbanan pemimpin terdahulu dalam usaha membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Guru dan murid- murid bersiap sedia untuk menyertai perarakan.

 

Setiap sudut dihiasi Jalur Gemilang

Guru besarnya, Zawawi Yusoff berkata, inisiatif memanfaatkan barangan terpakai ini diilhamkan guru-guru dan PIBG yang begitu bersemangat melakar sejarah sendiri selepas sekolah berkenaan terpilih mewakili Jeli dalam Pertandingan Keceriaan Negaraku 2017 bagi kategori sekolah sempena kemerdekaan tahun ini.

Zawawi berkata, pihaknya cuba meminimumkan kos dan usaha itu berjaya apabila sekitar RM1,500 sahaja diperuntukkan untuk mewujudkan suasana yang benar-benar menggambarkan keberadaan kita dalam bulan kemerdekaan.

“Setiap sudut kita hiasi dengan Jalur Gemilang, selari dengan objektifnya untuk menyemai semangat 1Malaysia, memupuk semangat cintakan negara dan wujudkan suasana ceria di bulan kemerdekaan dalam masa sama tingkatkan semangat perpaduan dalam kalangan murid,” katanya.

Beliau berkata, proses persiapan yang diselaraskan guru sekolah itu, Mohd Izzudin Abdullah memperuntukkan kira-kira 400 Jalur Gemilang pelbagai saiz untuk menghias kawasan sekolah itu dengan membina beberapa replika seperti menara berkembar, meriam buluh, wau bulan dan jet pejuang.

Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan ini termasuk pertandingan menghias kelas, kuiz sejarah kemerdekaan, mewarna tahap 1, perbarisan, menghias basikal, persembahan sajak dan nyanyian serta ceramah kemerdekaan.

Zawawi berkata, dalam menjayakan usaha berkenaan pihaknya mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan Jeli, Pejabat Pendidikan Daerah dan Adun Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid (sumbang RM500 bagi menampung perbelanjaan membeli bendera).

“Terima kasih kepada semua yang terlibat, PIBG yang diketuai Yang Dipertuanya, Zaini Mamat, komuniti Lubuk Bongor, guru- guru dan kakitangan. Tanpa kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, mungkin sukar untuk kami menjayakan misi ini,” katanya.

Warga SKLB bergambar bersama penilai dan ibu bapa.

Inisiatif pihak sekolah disambut baik

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah, Idris Hamat berkata, menyambut baik pendekatan dilakukan SK Lubuk Bongor dalam usaha melahirkan semangat cintakan negara dalam kalangan murid dan ibu bapa.

Menurutnya, inisiatif pihak sekolah untuk menzahirkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar amat dihargai, malah beliau percaya semua warga pendidik di daerah ini mempunyai cara dan idea sendiri untuk menzahirkan semangat tersebut.

“Hanya tinggal lima hari lagi untuk kita menyambut kemerdekaan negara ke-60 tahun ini. Saya harap semua sekolah akan gunakan kesempatan yang ada untuk cuba lahirkan semangat cintakan negara dalam jiwa murid-murid,” katanya.