Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Besar Johor Bahru dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman dan Maktab Sultan Abu Bakar.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School Sydney, Australia dari tahun 1968 hingga 1970.

Sekembalinya baginda ke Johor, Sultan Ibrahim menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi sebelum meneruskan latihan Airborne and Infantry Officers Basic Course di US Army Infantry School, Fort Benning dan John F Kennedy Special Warfare Center and School di Fort Bragg, Amerika Syarikat bagi kursus Special Forces Officer Course.

Ketika menjalani kedua-dua kursus ini, baginda telah menjalankan 11 penerjunan payung terjun dari pesawat pada waktu siang dan lapan kali ketika waktu malam sebelum dianugerahkan sayap sebagai komando. 

Baginda juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat).

Malah Sultan Ibrahim juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komandu Pasukan Khusus (Kopassus) Indonesia.

Selain latihan ketenteraan, baginda turut mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang dan diplomasi di Tufts University, Amerika Syarikat.

Baginda juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Johor dan ditempatkan antara lain di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri.