Sejak sekolah lagi dia mendapat kepercayaan guru dan rakan hingga menggalas pelbagai jawatan daripada ketua kelas, pengawas, pengerusi pusat sumber dan pelbagai lagi.

Demikian kata Mohd Radzi Amin, 39, yang kini memegang 22 jawatan dalam pelbagai pertubuhan dan agensi, selain pada masa sama masih berusaha menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Bapa kepada tiga anak ini mengakui menggalas pelbagai tanggungjawab pada satu masa bukanlah suatu yang baharu padanya apabila dia telah dilantik menjadi pemimpin sejak zaman persekolahan lagi.

"Ketika tingkatan enam di High School Muar, saya diberi kepercayaan jadi Ketua Pasukan Ragbi Sekolah-sekolah Premier Johor bagi Daerah Muar.

“Tugas yang diberikan ini juga dipertanggungjawabkan dalam masa sama ketika saya masih menyandang jawatan lain. Jadi boleh dikatakan ia dah sebati dalam jiwa saya. Meskipun cabarannya berbeza, Insya-Allah saya mampu mengendalikannya dengan baik kerana situasi ini dah dirasai sejak kecil lagi,” katanya.

Mohd Radzi mengakui mendapat segala kekuatan hasil sokongan keluarga iaitu isterinya, Faizah Yaakob, 38, ibu dan tiga anaknya.

Kata Mohd Radzi, cabaran dari segi masa yang dihadapinya juga tidaklah begitu padat kerana dia akan membahagikan jadual dan menetapkan pertemuan bersama anak buahnya mengikut keutamaan sesebuah pertubuhan.

“Ada pertubuhan yang perlu digerakkan secara aktif, tapi ada yang berjalan agak perlahan. Saya melihat dari segi keutamaan dan daripada situlah saya merencanakan jadual mesyuarat atau pelbagai lagi program melalui kesepakatan bersama,” katanya.

Kini, selain memegang jawatan dalam politik, Mohd Radzi juga aktif menerajui pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sekali gus menjadikan namanya bukan lagi asing buat sebahagian besar penduduk di daerah ini.

Menyingkap rahsia kemampuannya itu, empunya diri yang juga pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) daerah mengakui, komitmen yang diperoleh itu bukanlah dipinta, namun ia adalah kepercayaan yang diberikan oleh mereka yang meyakini kebolehannya.

“Saya langsung tak pernah terfikir akan dapat kepercayaan dalam kalangan individu penting apabila melantik saya menerajui pelbagai kelab dan pertubuhan sejak lebih sedekad lalu.

“Saya akui, menjadi seseorang yang memikul banyak amanah bukanlah mudah. Namun berusaha untuk melaksanakannya secara adil dengan membahagikan masa dengan baik, selain mengutamakan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah,” katanya.

Meskipun aktif dalam pelbagai pertubuhan, Mohd Radzi (duduk, empat kanan) tetap bermesra bersama penduduk kampung.

Selain menjadi pegawai Jasa daerah, Mohd Radzi yang kini membuat kajian mengenai Peranan Parti-parti Politik Malaysia dalam Mempengaruhi Hubungan Luar Malaysia itu turut menggalas beberapa jawatan lain antaranya Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri, Ahli Jemaah Pengarah Peladang Kawasan, Naib Yang Dipertua Majlis Belia Daerah, Pengerusi Muslim Bikers dan Ketua Pemuda Umno Cawangan Sri Serdang.

Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Setiausaha Gabungan NGO daerah, Pengerusi Penaja Pertubuhan Muar Tourism, Pengerusi Persatuan Penduduk Komuniti Perpaduan Bakri, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian dan pelbagai lagi.

Mohd Radzi (tengah) bersama rakan seperjuangan selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Analisis Strategi dan Keselamatan di UKM.

Pernah kerja 29 jam tanpa rehat

Mohd Radzi mengakui pernah tidak berehat selama 29 jam kerana menguruskan pelbagai kerja.

“Saya masih ingat bila saya terpaksa memandu dari Muar hingga ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang gara-gara ingin menguruskan hal berkaitan pelajaran, selain beberapa lagi tugasan yang perlu disiapkan.

"Pada waktu tu, banyak tempat yang terpaksa singgah dan berurusan hingga saya tak sedar hanya dapat berehat selepas 29 jam berada atas jalan, langsung tak tidur. Bagaimanapun, saya anggap itu kenangan manis dan apabila ia membuahkan hasil, terasa usaha kita berbaloi," katanya.

Mohd Radzi (dua, kiri) bersama sebahagian ahli kelab Muslim Bikers, Ahmad Nazifi (kanan) dan Muhammad Ali (kiri) serta Ghazali (dua, kanan) bangga mengibarkan bendera daerah
Muar ketika tiba di kawasan perkampungan masyarakat Yunan suku folk sewaktu melakukan aktiviti menjelajah China dengan menunggang motosikal.

Kata beliau, ketika buat pengajian jarak jauh di peringkat sarjana, dia perlu ulang-alik dari Muar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor tiga kali seminggu di mana kelas bermula 6 petang hingga 9 malam.

“Balik saja rumah waktu dah lewat malam, namun saya tetap utamakan tugasan penting yang mesti disiapkan pada waktu tu,” katanya yang tidak pernah mengabaikan masa bersama keluarga.

Meskipun sibuk dengan jadual seharian, namun masa bersama keluarga tetap diutamakan.

Bukan pelajar cemerlang

Mohd Radzi berkata, segala tugas dan amanah yang diperolehnya ketika ini adalah kerana mengamalkan prinsip bertanggungjawab, selain memegang kepada kata-kata 'kecerdikan mampu mengatasi kepandaian'.

“Mungkin ada menganggap individu yang dilahirkan genius boleh jadi hebat tanpa dipinta. Terus terang cakap, saya bukan dilahirkan sebagai pelajar cemerlang ataupun berasal dari keluarga senang.

"Ayah saya hanya tukang kebun, manakala saya pula anak ke-13 daripada 15 beradik. Namun, semua tu saya atasi dengan kerajinan. Bermula dari tingkatan enam, saya cuba sehabis baik meraih keputusan yang bagus sebelum saya diterima masuk ke USM, Penang di peringkat ijazah sarjana muda," katanya.

Mohd Radzi (kiri) sering hadir ke masjid di kawasan kampung dan beramah mesra bersama penduduk.

Kata Mohd Radzi, beliau belajar bersungguh-sungguh dan mahu berjaya kerana sedar kesusahan keluarga serta ingin bela mereka.

Malah katanya, sejak dari sekolah rendah juga dia sudah melakukan kerja kampung bagi mendapat upah.

"Semua kesusahan itu yang menjadikan motivasi untuk saya terus bergerak ke hadapan dan mesti lakukan yang terbaik. Selain itu, jangan pernah mengabaikan tanggungjawab dengan Allah,” katanya.

Kenangan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika majlis berbuka puasa yang lalu.

Ternyata usaha Mohd Radzi menggalas sehingga lebih 20 jawatan berbaloi apabila dia juga pernah meraih beberapa anugerah, iaitu:

1. Tokoh Belia Daerah pada 2012 dan 2014

2. Anugerah Belia Negeri Johor (2014)

3. Tokoh Aktivis Belia Melayu Negeri (2013)

4. Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan Awam (2014).