TIADA mangsa dipindahkan dalam kejadian banjir kilat  di Kampung Pahang, Jalan Pahang, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam pada jam 3.15 petang semalam selepas banjir berlaku di sebuah sekolah di Kampung Pahang.

Katanya, anggota bergegas ke lokasi namun lewat di tiba di tempat kejadian disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Anggota terpaksa mengambil masa sedikit kerana berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Tapah-Cameron  kerana lokasi kejadian berhampiran dengan laluan keluar masuk Plaza Tol Tapah dan jentera tiba pada jam 4.03 petang.

“Setiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati air bertakung di padang sekolah berkenaan dan melimpah ke kawasan kantin telah surut. Tiada kerosakan harta benda atau mangsa terperangkap akibat kejadian tersebut,” katanya kepada Sinar  Harian, semalam.

Mohd Nadzir berkata, anggotanya turut membuat pemeriksaan dan pemantauan sekitar kawasan kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan anggotanya mendapati situasi pulih seperti biasa.

Menurutnya, pihaknya juga memaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Andrew dan sembilan anggota berakhir jam 4.13 petang,” katanya.

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.