RAWANG - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang menyambut baik kempen Malaysia #QuranHour untuk menerapkan nilai murni dalam kalangan murid beragama Islam dan memupuk semangat perpaduan berbilang kaum.

Dari kiri: Penolong Kanan (PK) Kokurikulum, Lee Chee Siong; PK Pentadbiran, Chan Lai Heng; Azhar; Ustazah Norfarah Che Nan; PK Hal Ehwal Murid, Chee Shiou Ling dan Ngan Yee (duduk).

Guru Besarnya, Foong Ngan Yee berkata, seramai 70 murid dan lima guru akan menjayakan program Malaysia #QuranHour di sekolahnya pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang 19 Jun ini.

"Ini penglibatan kedua pihak sekolah dalam mengadakan Malaysia #QuranHour bersama murid tahun tiga hingga enam serta guru dalam kelas pendidikan Islam.

"Pada hari tersebut, setiap murid akan bawa al-Quran untuk dibaca dan difahami bersama dengan diketuai guru Pendidikan Islam, Ustaz Azhar Mat Hassan," katanya.

Menurutnya, peranan sekolah adalah mendidik murid untuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) namun penerapan nilai murni kalangan murid juga penting agar dapat membina masyakat harmoni.

“Saya percaya untuk berjaya dalam bidang akademik, murid daripada berbilang kaum perlu mempunyai disiplin dan pegangan agama yang baik.

“Jika anak bangsa dapat mempraktikkan amalan agama masing-masing, mereka boleh menjadi orang yang baik dan bertanggungjawab. Seterusnya mewujudkan masyarakat penyayang dan permuafakatan," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk mendidik anak seawal usia dari segi agama mahupun bidang kemahiran supaya anak lebih bersedia menuntut ilmu di alam persekolahan.

“Saya berharap selepas kempen Malaysia #QuranHour, murid dapat meneruskan bacaan al-Quran di rumah dan di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu Azhar berkata, murid Islam mengikuti kelas mengaji al-Quran pada waktu rehat sepanjang Ramadan.

Murid SJKC Kuang menyertai sesi mengaji al-Quran.

“Penyertaan murid untuk Malaysia #QuranHour bertambah ramai berbanding tahun lepas. Ada kalangan mereka yang pernah ikuti kempen tersebut tahun lalu dan teruja untuk baca al-Quran bersama,” katanya.