PUTRAJAYA – Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) yang disertai 46 negara akan memberi manfaat berguna dalam memajukan pendidikan awal kanak-kanak.


Program bertemakan Pengaruh Transformasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak: Inovasi untuk Keterangkuman dan Kualiti itu dijadual bermula pada 19 hingga 21 Julai depan di Hospital Marriot di sini.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, APFEC 2016 bertujuan menyediakan platform untuk menggubal dasar peringkat tertinggi dari rantau Asia Pasifik.


“Ia juga platform untuk kerajaan mengetengahkan kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia kepada dunia amnya dan negara rantau Asia Pasifik khasnya.


“Melalui APFEC 2016, kita dapat berkongsi pengalaman dalam memajukan pendidikan awal kanak-kanak seperti latihan guru, kurikulum, penyelarasan dengan pelbagai agensi yang menyediakan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia serta perkongsian pintar dengan sektor swasta,” katanya dalam majlis prapelancaran APFEC 2016, semalam.


Katanya, APFEC 2016 ini juga akan menyaksikan 50 pembentangan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak yang terdiri daripada dua ucaptama, empat kertas sesi plenari dan 44 pembentangan untuk sesi selari.


“Pembentangan kertas adalah terdiri daripada beberapa pakar pendidikan awal kanak-kanak dari seluruh negara serta dari negara rantau Asia Pasifik,” katanya.


Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pemilihan Malaysia selaku tuan rumah membuktikan usaha Kementerian Pendidikan memajukan pendidikan awal kanak-kanak mendapat perhatian APFEC 2016.


“Saya yakin pemilihan Malaysia adalah kerana transformasi dan perkembangan pesat pendidikan di negara kita khususnya melibatkan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.