SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal ke Putrajaya sekiranya perkhidmatan beliau diperlukan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, buat masa ini, Mohamed Azmin akan terus bersama kerajaan negeri menerajui pentadbiran Selangor.

"Bagaimanapun,  kita tak tahu berapa lama beliau akan bersama kita.

"Tapi jika Kerajaan Persekutuan memerlukan beliau dan beliau bersetuju untuk pergi, kita terpaksa terima.... Jika tidak,  beliau akan terus kekal bersama kita, "katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) & Jasamu Dikenang 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC)", di sini, semalam.

Terdahulu,  terdapat desas-desus mengatakan Mohamed Azmin berkemungkinan dilantik menjadi Menteri Pendidikan.

Malah,  khabar angin itu semakin kuat apabila Timbalan Presiden PKR itu juga bakal menghadiri satu Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Kali Ke-47 Tahun 2018, Kementerian Pendidikan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam ini.

Bagaimanapun kesahihan mengenai perkara itu,  setakat ini masih belum dapat dipastikan.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.

Beliau mengangkat sumpah itu pada usia 54 tahun di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.