Dua huffaz al-Quran 30 juzuk dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam memperoleh semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, yang diumumkan, semalam.

Muhammad Thalith Mashudi, 18, dan Nur Anisah Shahrudin, 18, masing-masing cemerlang apabila mendapat A bagi semua 11 subjek tersebut.

Menurut Muhammad Thalith, kejayaan itu di luar jangkaannya, apatah lagi dia kerap tertidur di dalam kelas.

“Dari kecil lagi saya mudah tertidur waktu guru mengajar dalam kelas.

“Saya atasi masalah ini dengan berjalan sambil pegang buku semasa guru mengajar untuk elakkan saya terus terlena,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia juga bimbang tidak memperoleh A dalam subjek sejarah.

“Tulisan saya kurang memuaskan dan risau jika ini pengaruhi pemarkahan dalam subjek tersebut hingga pernah terlintas dalam fikiran cukuplah hanya lulus sahaja,” katanya.

Muhammad Thalith yang bercita-cita menjadi jurutera penerbangan berkata, antara rahsia kejayaannya itu ialah sering membantu rakannya mengulang kaji pelajaran.

“Saya amal sikap tolong kawan biarpun saya tak sempat siapkan kerja sekolah. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya.

Katanya, kejayaannya itu juga berkat doa dan restu ibunya, Dewi Puspita Masod, 51, serta bapanya, Mashudi Misban, 54.

Nur Anisah pula berkata, keputusan cemerlang itu terukir kerana menjadikan al-Quran sebagai teman sejati.

“Saya bersyukur kerana sesibuk mana pun saya, al-Quran tetap jadi keutamaan. Sebagai huffaz saya lazim ulangi bacaan al-Quran supaya tak lupa dan hanya ambil masa tiga jam untuk ulang kaji pelajaran akademik,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.