SHAH ALAM - Aksi lincah tiga beradik murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jalil ini menarik perhatian netizen apabila video raya yang dimuat naik seminggu lalu di YouTube ditonton 43,000 pelayar dan dikongsi 1,400 orang sehingga hari ini.

Mohd Najib Rasli, 36, yang merupakan seorang videografer berkata, beliau memang sudah menjangkakan video itu akan tular tetapi tak sangka sebanyak itu.

"Ini video raya kedua yang saya buat, satu pada tahun lepas juga dapat sambutan tetapi yang ini sangat di luar jangkaan.

"Saya buat ini hanya untuk menjadi kenangan kepada kami sekeluarga.. asyik buat video orang, sesekali nak juga ada video keluarga sendiri," katanya.

Menurutnya, idea tercetus sebenarnya daripada permintaan anak bongsunya Amina Najihah, 7, yang meminta untuk dirakam setelah banyak video di YOuTube hanya babitkan abang dan kakaknya.

"Anak sulung saya, Mohd Najmi, 11 dan anak kedua, Amina Najwa, 9, banyak buat video di YouTube.. tapi yang bongsu ni belum mula lagi.

"Apabila guru Mohd Najmi minta saya 'shooting' di sekolah.. saya ambil peluang ni dan berurusan dengan pihak sekolah," katanya.

Kata Mohd Najib, penggambaran bermula di Bukit Tinggi, Indonesia pada mingu pertama Ramadan.

Ketika itu mereka sedang bercuti dan tiba-tiba Amina Najwa memberi idea supaya mereka 'shooting.'

"Balik ke Malaysia, saya ambil masa seminggu untuk meneruskan penggambaran seterusnya kerana perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP).

"Shooting di sekolah dua jam sahaja selepas dapat kelulusan dan pada 6 Jun lalu saya muat naik video berkenaan," katanya.

Melihat bakat yang ada pada diri anaknya, Mohd Najib berkata beliau tidak menghalang jika mereka ingin menceburi bidang hiburan namun tujuan utama adalah untuk memberi pelbagai kemahiran.

"Ada antara anak saya yang agak pendiam.. dan saya berasakan dengan membuat video ini dapat memecah tembok pemalu anak saya," katanya.