GOMBAK - Lebih 200 peserta terdiri ibu bapa, guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 2 (Seteguh) menyertai Gotong Royong Perdana anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut.

Yang Dipertua PIBG Seteguh, Zakaria Abdul Karim berkata, sekolah berusia 16 tahun itu memerlukan beberapa kerja keceriaan bagi menyuntik semangat pelajar untuk datang ke sekolah.

Menurutnya, sebanyak RM3,000 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut yang mendapat tajaan daripada syarikat Kamal Engineering Sdn Bhd.

“Antara penumpuan kerja bagi program berlangsung bermula jam 8 pagi itu adalah penanaman pokok (satu pokok satu keluarga), menebang pokok tua atau mati dan mengecat bangunan pudar dan lukisan mural.

“Sebuah badan bukan kerajaan Youth of Happiness (YOSH) telah menghantar 40 sukarelawan bagi kerja keceriaan termasuk mengemas bilik buku dan fail di sini,” katanya.

Pelajar turut membantu membersihkan timbunan dahan pokok yang telah ditebang.

Tambahnya lagi, program yang diadakan secara tahunan itu mencapai objektif asalnya dan berharap aktiviti tersebut dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh satu tahun.

“Peserta turut mengadakan aktiviti gotong-royong memasak sebelum acara selesai kira-kira jam 1 tengahari,”katanya.

Hadir sama pada program tersebut adalah Guru Besar Seteguh, Norma Shukor.

Zakaria (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada wakil syarikat Kamal Engineering.