SHAH ALAM - Kekerapan membeli bahan bacaan terbitan Karangkraf di toko buku, mencetuskan idea guru-guru dari SMK Seri Gunong, Kedah, untuk membuat lawatan sambil belajar ke syarikat tersebut.

Seorang guru, Marina Ismail, 41 berkata, Karangkraf menghasilkan banyak buku, majalah dan surat khabar yang bermutu dan berkualiti tinggi.

"Pelajar saya suka beli produk Karangkraf.. sebab itu, kami sepakat untuk berkunjung ke sini dan lihat secara mendalam bagaimana proses penerbitan dan percetakan buku dan majalah dilakukan," katanya.

Seramai 10 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), 16 pelajar arus perdana dan sembilan guru pengiring menyertai lawatan tersebut.

Penerangan berkenaan GPSBestari disampaikan oleh Penolong Editor, Noor Fazidah Umar (kiri).

 

Lawatan selama tiga hari dua malam itu, melawat beberapa destinasi menarik, antaranya Petrosains, IKEA Damansara, Putrajaya dan membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur.    

Sementara itu, Marina yang juga penyelaras PPKI berkata, kesemua lokasi yang dilawati itu adalah sebahagian daripada program Lawatan Penandaarasan sekolah.

"Lawatan Penandaarasan ini adalah program tahunan kami.. Rombongan ke SMK Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh kerana sekolah ini menawarkan program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA).

"Banyak kemahiran yang telah diketengahkan kepada pelajar PPKI mereka. Kadang-kadang, idea yang mereka ketengahkan, cukup unik dan kreatif sekali.. Insya Allah, kami akan cuba beri yang terbaik untuk pelajar PPKI kami setelah melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh SMK Bukit Rahman Putra," ujarnya.

Marina Ismail