PUTRAJAYA – Pertandingan Foto Kreatif dan Pertandingan Mengarang Esei Kemerdekaan 1Malaysia yang dianjur sempena Kempen ‘Salute Malaysia’ menerima penajaan daripada dua agensi termasuk sektor korporat dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000.

Kempen menerusi Program Malaysia Di Hatiku dianjur Kelab Generasi Ilmu 1Malaysia (KGI1M) mendapat kerjasama Yayasan Perdana Ummah (YPU), Sinar Harian, portal pendidikan GPS Bestari, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif A Z E & Groups Sdn Bhd, Datuk Paduka Azham Zamiri Mohamad Satar berkata, pihaknya berminat memberi tajaan selepas melihat manfaat kempen yang memberi kebaikan sekali gus menanam semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Beliau yang sebelum ini banyak terlibat dengan penganjuran program berunsur patriotik di Kelantan berkata, teruja melihat sambutan terhadap pertandingan meskipun dimaklumkan ia baru tahun pertama dianjur.

“Biasanya saya banyak terlibat dengan program kemerdekaan termasuk jelajah merdeka dan sebagainya di Kelantan, kali ini saya lihat kempen ‘Salute Malaysia’ lebih meluas di peringkat kebangsaan, jadi saya beri sokongan melalui penajaan.

“Walaupun kali pertama dianjur, tapi saya nampak jumlah penyertaan menggalakkan, lebih 2,000 yang menyertai pertandingan, ia satu angka yang membanggakan,” katanya.

Azham berkata, jika mempunyai rezeki lebih, syarikatnya yang menjalankan pelbagai perniagaan dan perkhidmatan termasuk pembinaan, kejuruteraan, pembekal makanan, stesen minyak serta pengawalan keselamatan berminat mewujudkan jalinan kerjasama dengan pihak penganjur.

Katanya, program itu boleh ditambah baik dan mungkin pihak penganjur boleh meletakkan sasaran antara 50,000 hingga ke 100,000 penyertaan jika dianjur lagi pada tahun depan.

“Kita mungkin boleh tambah pengisian aktiviti untuk melibatkan lebih ramai remaja dan belia antaranya menganjurkan program kembara merdeka merentasi beberapa negeri,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Tajaan untuk Kempen ‘Salute Malaysia’ di Kelab Tasik Putrajaya, pagi semalam.

Cek disampaikan kepada Presiden KGI1M, Syahrin Md Jamaluddin.

Hadir sama dalam majlis tersebut Editor Sinar Harian Edisi Selangor/ Kuala Lumpur, Mohd Hanafiah Hashim.

Azham sebelum itu berkata, semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat tidak dapat diukur kerana ia lebih berbentuk subjektif dan berbeza mengikut peringkat umur.

"Berkemungkinan ada rakyat yang beranggapan mengibar Jalur Gemilang sudah cukup menunjukkan rasa sayang kepada negara namun generasi muda kini mungkin mahukan kelainan.

“Sebab itu dengan adanya penganjuran program yang disukai mereka termasuk seperti pertandingan dianjur ni, mungkin dapat ubah cara sambutan sekali gus meningkatkan semangat patriotik golongan muda,” katanya.