KLANG - Seramai 312 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah diberi makan sarapan pagi sebelum peperiksaan bermula pagi tadi.

Kaunselornya, Zubaidah Mat@Ahmad berkata, itu adalah tradisi sekolah tersebut setiap kali peperiksaan besar seperti PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini sudah menjadi amalan tahunan kami sejak 2010. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyediakan air dan roti kepada pelajar.

"Setiap pagi pada hari peperiksaan, pelajar akan dikumpulkan, kami adakah bacaan doa, tips dari cikgu untuk peperiksaan, bicara motivasi dari pentadbir, sarapan pagi seterusnya barulah pelajar memasuki dewan peperiksaan," katanya.

Zubaidah berkata lagi ianya adalah untuk memastikan pelajar tidak lapar kerana jika pelajar lapar, mereka akan hilang fokus untuk menjawab exam.

"Adakalanya pelajar memang tak sempat sarapan pagi kan.. ia juga persiapan untuk pelajar lebih tenang dan bersedia.

"Pelajar pun sangat suka dan ada yg berterima kasih sebab disediakan makanan. Walaupun ringkas tapi boleh mengalas perut sementara menanti waktu rehat," katanya.

Amalan ini juga menunjukkan budaya penyayang antara cikgu dan pelajar sentiasa diamalkan.

Tahniah untuk warga sekolah dan PIBG!

Seramai 425,251 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di seluruh negara, bermula pagi ini hingga Khamis.