SHAH ALAM - Pada pagi ini, Kumpulan Media Karangkraf telah menerima kunjungan lawatan sambil belajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Tinggi, Hulu Terengganu.

Rombongan selama tiga hari tiga malam itu disertai oleh 35 murid tahun 1-6 dan enam guru.

Guru pengiringnya, Tengku Bakri Tengku Embong, 39 mengucapkan terima kasih kerana sudi menerima kunjungan kami.

"Kami rasa sangat bertuah kerana inilah kali pertama berpeluang datang ke sini dan dapat melihat sendiri proses dari setitik dakwat menjadi buku, majalah, akhbar dan sebagainya.

"Inshaallah kami akan sebarkan dan manfaatkan ilmu yang kami dapat di sini untuk kegunaan masa akan datang," ujarnya.

Lebih menarik mereka turut berkesempatan bergambar dengan Pengerusi Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

 

Rombongan itu bertolak pada Selasa malam, semalam lawatan bermula di sekitar Kuala Lumpur seperti Masjid Negara, Planeterium, I-City dan petang nanti akan bergerak ke Cameron Highlands.

Selain itu, guru Suliana Zulkurnaini, 36 berharap semua murid boleh melihat sendiri bagaimana prosedur kerja dalam industri percetakan.

"Ini adalah satu pengalaman berharga mereka.. cara cetak novel, majalah.. semoga selepas ini mereka akan lebih mencintai budaya membaca," ujarnya.

Sementara itu, murid tahun lima, Muhammad Amsyar Danish Zamri, 11 turut berasa sangat teruja menjejak kaki ke sini.

"Saya sangat gembira dapat melihat semuanya.. biasanya saya tengok suratkhabar dan majalah je.. tapi hari ini saya dapat lihat mesin cetaknya yang besar dan canggih sekali," katanya.

Muhammad Amsyar Danish

Sebahagian daripada murid yang melawat ke unit GPSBestari.com

Guru bersama Editor GPSBestari.com, Wan Normi Hasan.

Murid diberi penerangan bagaimana kaedah kerja design.

Guru turut berpeluang berkomunikasi dengan pereka grafik.