SHAH ALAM - Bagaikan taman tema.

Begitulah gambaran Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang setelah dilakukan ubah suai.

Guru perpustakaan dan media, Ummuhani Zenol berkata, idea itu muncul memandangkan beliau memang minat warna merah jambu.

Ummuhani (tengah) bersama dua pustakawan ketika menjadi maskot Hello Kitty semasa Penilaian PSS Cemerlang tahun lalu.
 

 

"Saya memang minat warna merah jambu.. lepas tu, saya lihat banyak barang Hello Kitty yang berwarna merah jambu. Dari situ lah idea itu muncul.

"Murid-murid sangat teruja untuk masuk ke Perpustakaan Abu Hurairah kami.. nama Abu Hurairah dipilih kerana beliau adalah sahabat rasullullah yang sukakan kucing," katanya.

 

 

Menurut Ummuhani lagi, ibu bapa murid turut memberi sokongan yang sangat baik. Mereka turut mendapat sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan orang perseorangan.

"Hello Kitty ini dipilih kerana wajah Hello Kitty ini tidak ada mulut.. jadi sinonim dengan perpustakaan di mana dalam setiap perpustakaan, murid dikehendaki diam.

"Dari awal tahun lepas saya dah mula untuk menghias perpustakaan ini dengan Hello Kitty," katanya.

Kata Ummuhani lagi, semasa hari guru tahun lalu, ramai murid yang menghadiahkan barangan Hello Kitty kepadanya dan dipamerkan di perpustakaan tersebut.

"Malah, setiap ID kad perpustakaan juga ada gambar Hello Kitty," katanya.

Perpustakaan Abu Hurairah ini turut tercalon dalam Penilaian PSS Cemerlang peringkat Selangor.