HULU LANGAT - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding merupakan sekolah harian luar bandar.

Jumlah pelajarnya pada tahun ini seramai 1,535 orang dengan 70 peratus terdiri daripada pelajar beragama Islam.

Walaupun sekolah campuran (pelbagai bangsa dan agama), namun program keagamaan khususnya hari kebesaran Islam dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ketua Panitia Pendidikan Islam, SMK Dusun Nanding, Rahmanah Mohd Zain berkata, setiap kali program keagamaan berlangsung, sekolah mendapat kerjasama daripada Unit Panitia Pendidikan Moral.

"Misalnya ketika majlis khatam al-Quran dan sumbangan Aidilfitri kepada pelajar asnaf, zakat dijalankan, pelajar non-muslim terlibat dengan program motivasi yang dianjurkan Panitia Pendidikan Moral di dewan sekolah," katanya.

Dalam pada itu, seramai 500 orang terlibat pada program Ihya Ramadan yang berlangsung 17 Mei hingga 8 Jun.

Mereka terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan jawatankuasa PIBG.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam SMK Dusun Nanding dengan kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan Unit Kebajikan Pelajar, Hal Ehwal Murid.  

Pelajar SMK Dusun Nanding hadir pada sesi ceramah yang dianjurkan.

Sumbangan diberikan kepada pelajar asnaf.

Pemenang soalan kuiz Ramadan di sesi petang.

 

Objektif program melahirkan pelajar bertakwa dan mengamalkan ajarannya, mengimarahkan Ramadan dengan alunan al-Quran, mengambil peluang bulan Ramadan yang mustajab dengan memanjatkan doa semasa solat hajat dan sebagainya.

Rahmanah berkata, beberapa aktiviti telah disediakan sepanjang Ihya Ramadan berlangsung.

Antaranya, Tadarus al-Quran. Titisan Raudhah (pengawas membaca surah pilihan), solat sunat hajat, solat sunat dhuha dan ceramah ambang Ramadan.

Turut diadakan kuiz Ramadan, iftar, solat sunat hajat, solat sunat tarawih, sumbangan Hari Raya kepada pelajar asnaf zakat dan majlis khatam al-Quran.

Ujar Rahmanah, sumbangan duit raya untuk pelajar terpilih amat menggalakkan dan mendapat sambutan luar biasa daripada ibu bapa dan guru-guru.

"Seramai 225 pelajar yang kurang berkemampuan sesi pagi layak menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM70 seorang.

"Penyampaian sumbangan disempurnakan Naib Yang Dipertua PIBG, Shahrul Azami Aniddin pada 1 Jun, baru-baru ini," katanya.

Akhir sekali, Rahmanah berharap program Ihya Ramadan dapat diteruskan dan dimantapkan pada masa akan datang sebagai melengkapkan salah satu antara program hari Kebesaran Islam.

"Semoga jalinan ukhuwah dapat dijalin dengan erat lagi di antara PIBG, komuniti luar dan warga sekolah. Keprihatinan semua pihak terhadap insan yang kurang berkemampuan didahului dengan doa semoga mendapat limpahan rahmat Ilahi dan keberkatan harta yang disumbangkan dengan penuh keikhlasan," katanya.

1) Program tadarus al-Quran yang diadakan setiap hari persekolahan pada Ramadan.

 

2) Sumbangan diberikan kepada pelajar asnaf.

 

3) Pelajar SMK Dusun Nanding hadir pada sesi ceramah yang dianjurkan.  

 

4) Ustaz Muhammad Hazim Haznan menyampaikan ceramah Ambang Ramadan kepada pelajar Islam sesi pagi.  

 

5) Barisan pemenang soalan kuiz Ramadan sesi pagi menerima hadiah berupaya baucar.  

 

6) Pemenang soalan kuiz Ramadan di sesi petang.

 

7) Pengawas sekolah yang bertugas membacakan surah pilihan dengan tajwid yang betul dalam slot Titisan Raudhah.

 

8) Pengetua, Maheran Abdul Rahman menyampaikan cenderamata kepada penceramah.