SHAH ALAM -  Satu program Motivasi Kecemerlangan NLP Yayasan Basmi Kemiskinan dengan kerjasama GPS Bestari Karangkraf telah diadakan untuk pelajar calon SPM secara percuma pada 7 Oktober, bertempat  di Kumpulan Media Karangkraf.

Seramai 230 pelajar daripada tujuh buah sekolah sekitar Shah Alam dan Kuala Langat serta satu Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah terlibat dalam program motivasi ini. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan lima serta peserta yang mendaftar secara persendirian (‘walk-in’).

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, SMK Seksyen 18, SMK Seksyen 19, SMK Seksyen 24, SMK Taman Sri Muda, dan SMK Sijangkang Jaya yang menghantar penyertaan pelajar paling ramai iaitu 85 peserta. Kolej Bersepadu Nasional turut menyertai program ini dengan penyertaan 18 orang pelajar diploma tahun pertama.

Program sehari tersebut telah dikelolakan oleh Ketua Jurulatih Motivasi NLP YBK merangkap Ketua Pegawai Eksekutif YBK, Zulhairy Jalaludin serta dibantu oleh Audi Faliq Ibrahim dan Ustaz  Syaiful Akmal Addanan. Sepanjang sesi, program ini membawakan modul Neuro-Linguistic Programming (NLP) yang menunjukkan cara manusia berfikir, beremosi dan menzahirkan kelakuannya. Melalui kaedah NLP, manusia dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Wakil pelajar dan guru daripada SMK Seksyen 16 menerima sijil penyertaan.

 

Peserta turut didedahkan dengan beberapa corak NLP seperti ‘State Management’, ‘Bulatan Kecemerlangan’, ‘Teras Perubahan’, dan ‘Sensory Acquity’. Bagi menguji kefahaman peserta di samping menguji elemen kerjasama dalam kumpulan, telah diadakan praktikal dan pertandingan ‘State Management’.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom. Hadir sama, Wan Fauziah Wan Abdullah, Penolong PPD Bimbingan Kaunseling Kerjaya Murid PPD Petaling Perdana, guru-guru pengiring dan pegawai.

Program tamat pada petang itu dengan penyampaian sijil, cenderahati, dan hadiah kepada tetamu kehormat dan peserta. Turut mendapat tepukan yang gemuruh adalah persembahan corak NLP ‘State Management’ secara beramai-ramai bersama tetamu kehormat oleh juara pertandingan daripada Kolej Bersepadu Nasional.