SEBERANG MANONG - Kesedihan empat beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu mereka meninggal dunia dalam kemalangan pada 11 Jun lalu, sedikit terubat apabila beberapa pihak hadir menghulurkan bantuan kepada mereka.

Selepas kisah mereka dipaparkan Sinar Harian, ramai melahirkan rasa simpati kepada mereka dan ada juga mengambil inisiatif membantu termasuk JKM Kuala Kangsar.

Baru-baru ini, beberapa kakitangan JKM melawat keluarga empat beradik itu di Kampung Senggang dan turut menyerahkan Tabung Bantuan Segera RM300.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Kangsar, Marzuana Ismariza Miar Ismail berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Kita turut meluluskan Bantuan Am berjumlah RM250 sebulan kepada Wan Rohaimah Rosli, anak kepada Allahyarham kerana dia masih bersekolah. Bantuan bermula pada Julai 2017 hingga Jun 2018.

“Kita akan pantau keperluan keluarga ini. Jika ada masalah, kami harap mereka boleh datang berjumpa kami dan berbincang bentuk bantuan boleh disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid turut menyumbangkan baju raya baru untuk adik-beradik itu.

Menurutnya, mereka dibawa memilih baju di tapak ekspo berhampiran Stesen Bas Kuala Kangsar.

“Sebelum ini, saya ada berjanji kepada mereka, mahu beli baju raya kerana itu adalah impian terakhir arwah ibu mereka. Seronok lihat mereka bersemangat memilih baju raya baru,” katanya.

Dalam kemalangan baru-baru ini, Siti Khadijah Syed Nordin, 41, maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Kampung Senggang  ketika dia mahu pulang ke rumah selepas membeli juadah bersahur.

Sejak bapa empat beradik ini meninggal dunia pada 2011, mereka tidak lagi membeli baju raya kerana kesempitan wang dan hanya memakai baju lama.