KOTA KINABALU - Seluruh bangunan  sebuah sekolah rendah di Ranau yang menempatkan pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik darjah bagi murid tahun satu, buku teks serta kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bangunan sekolah jenis kayu berukuran 90 x 40 kaki persegi milik Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuk Ragang, Ranau, itu terbakar 100 peratus sebelum pasukan bomba tiba.

Menurut pusat gerakan operasi itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.13 petang, sebelum Ketua Balai Bomba Penyelamat Ranau, Jimmy Lagung bersama lapan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian, terletak kira-kira 52 kilometer dari balai bomba berkenaan.

“Tindakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hose reel dari sumber air jentera dan air paip sedia ada, seterusnya membuat pemeriksaan menyeluruh bahagian terbakar bagi memastikan tiada bahaya  lain,” kata menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya jam 7.25 malam dan tiada kecederaan dilaporkan. - Bernama

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.