Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yaakub (SMKDARY) Bota Kanan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan produk sos cili
buatan sendiri.

Sos cili yang diberi nama Al Haitham Best Source adalah hasil inovasi pelajar menegah atas kelas  Al Haitham sekolah berkenaan.

Pengetua SMKDARY, Bainah Ab Dolah berkata, produk itu juga telah memenangi hadiah inovasi dalam Karnival Pendidikan Daerah Perak Tengah 2017 yang lalu.

Menurutnya, produk itu menjadi salah satu produk keluaran sekolah yang dijangka boleh memasuki pasaran sekiranya terdapat penaja yang boleh menyumbangkan modal untuk memprosesnya.

“SMKDARY berjaya menghasilkan sos sendiri hasil  inovasi pelajar menengah atas sekolah ini dan berjaya menang hadiah ketika Karnival Pendidikan Daerah Perak Tengah pada tahun lalu.

“Kelainan sos cili ini ialah ia mempunyai gabungan dengan  serai yang menambahkan lagi keenakan rasa kepada sos,” katanya ketika majlis pelancaran sos cili itu di  Dewan Ibnu Sina SMKDARY.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti  Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Bainah berkata, pengeluaran produk itu juga secara tidak  langsung memberi pendedahan kepada pelajar untuk menjadi usahawan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut diadakan Majlis  Anugerah Gemilang Akademik 2018 yang bertemakan Sains dan Teknologi pemangkin Transformasi.

Menurut Bainah, kelainan yang ditampilkan melalui tema berkenaan, pendaftaran tetamu dan gimik pelancaran majlis perasmian telah dijalankan menggunakan QR code.

“Lebih membanggakan, ketika majlis ini Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran telah mengumumkan satu insentif untuk tokoh pelajar PT3, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dinamakan selama lima tahun yang dipanggil Anugerah Kecemerlangan Dato’ Shatar (AKDS),” katanya.