SEGAMAT - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labis membuat kejutan apabila muncul juara pada Pertandingan T-Baton Kadet Polis peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Pertandingan yang diadakan di pekarangan sekolah itu bersempena Karnival Mega SMK Labis 2018 adalah acara julung kali diadakan dan mendapat sambutan yang cukup hangat dalam kalangan peserta.

Jurulatih pasukan SMK Labis, Sarjan Zamani Md Zali berkata, kejayaan itu hasil usaha keras yang dilakukan semua ahli pasukan.

Pasukan SMK Labis beraksi dalam pertandingan T-Baton Peringkat Kebangsaan.

"Mereka telah berlatih berbulan-bulan bekerja keras sebelum pertandingan dan akhirnya, inilah ganjaran buat mereka. Tahniah dan terima kasih kepada semua terlibat," katanya.

Selain SMK Labis, beberapa pasukan dari Johor juga turut menyertai pertandingan kali ini yang melibatkan wakil dari Pahang dan Melaka.

Tempat kedua pertandingan di menangi SMK Dato' Menteri, Batu Pahat manakala SMK Taman Scientex, Johor berada di tempat yang ketiga.

Pengadilan pertandingan dikendalikan pihak Pulapol yang terdiri Sarjan Mohamad Saidey Md Yusof, Konstabel Fernylla Japyus dan Konstabel Callista Hana Hiew.

 Kamaruddin dan Kamar bersama juara T-Baton, pasukan SMK Labis.

Ketua Eksekutif karnival, Ramlah Lopez berkata, kemenangan SMK Labis sudah diramal.

"Berkat semangat dan keazaman kerja berpasukan serta doa daripada semua pihak, SMK Labis berjaya menjadi juara T-Baton. Tahniah kepada semua!," katanya.

Karnival mega dapat sambutan

Dalam perkembangan berkaitan, Karnival Mega SMK Labis merupakan acara yang julung kali diadakan.

Tema karnival adalah "Ko-Akademik Pemangkin Transformasi Pendidikan Negara”.

Sebahagian pasukan yang bertanding.

Pengetua, Kamar Mohamad berkata, pemilihan tema bertujuan menonjolkan aktiviti ko-akademik yang merupakan elemen penting kepada kemenjadian murid.

Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kamaruddin Mohamad Tahir berkata, program tersebut menjadi wadah yang menghubungkan pelajar, guru, ibu bapa, organisasi dan agensi serta masyarakat luar.

"Hubungan yang akrab dalam kalangan warga sekolah dan komuniti dapat mencetuskan pelbagai revolusi yang bakal memberi impak positif kepada kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)," ujar beliau.

Persembahan pelajar dari SMK Labis.

Sementara itu, program yang dihadiri pelajar, kanak-kanak tadika Kemas, Pasti dan masyarakat awam sekitar Labis, menyediakan pelbagai acara menarik dari segi akademik, ko-akademik, kokurikulum serta pelbagai pertandingan, pameran, persembahan, pelancaran dan gerai jualan.