BESTARI JAYA - Menyedari bahaya denggi, Skuad Semermum Dengue Patrol Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa aktif menjayakan misi untuk membanteras wabak itu.

Skuad yang mempunyai keahlian berbilang kaum itu giat mendekati golongan kanak-kanak, remaja dan masyarakat sekitar dalam usaha membanteras wabak denggi.

Kempen tersebut bukan sahaja bertumpu kepada aktiviti gotong-royong malah penyampaian maklumat turut disampaikan menerusi persembahan muzik, sketsa dan kuiz bertemakan ‘Beat Aedes, Defeat Dengue!’.

Kempen yang bermula sejak pertengahan Februari lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Mei ini melibatkan kerjasama komuniti setempat.

Program tahunan itu adalah kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Sanofi Pasteur.