Shah Alam - Bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cara pengurusan jenazah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 mengadakan kursus khas.

Guru Kanan Kemanusiaan, Mariam Osman berkata, dalam kursus berkenaan turut ditekankan persediaan yang perlu dilakukan sebagai seorang muslim apabila berlaku kematian.

"Kursus ini melibatkan kesemua pelajar Islam tingkatan 3 iaitu seramai 230 pelajar dan 15 guru.

"Antara aktiviti yang dijalankan adalah penerangan kewajipan seorang Islam terhadap jenazah yang disampaikan Aniza Azhar, seorang yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun menguruskan jenazah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan mendapat pentauliahan pengurusan jenazah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya.

Dari kiri: Adam Muammar, Zulkifli Salehudin dan Mohd Hafiz Rostan tekun mendengar tunjuk ajar Aniza dan bersedia untuk mempraktikkan cara memandikan jenazah dengan betul.

Menurutnya, Aniza juga memberi taklimat kepada pelajar mengenai persediaan awal yang perlu dilakukan apabila mendapat berita kematian dan mempraktikkan cara memandikan jenazah dengan betul.

Selain itu, pelajar juga turut membuat praktikal mengkafankan jenazah lelaki dan perempuan serta menunaikan solat jenazah mengikut kehendak syariat.

"Sambutan terhadap program ini amat baik kerana pelajar kelihatan teruja dapat mempelajari ilmu baharu dan dapat mempraktikkan secara langsung ilmu tersebut," katanya.

Pengetua SMK Seksyen 16, Rohana Mat Sah berkata, aktiviti seperti itu perlu diteruskan dan dijadikan sebagai aktiviti tahunan sekolah kerana ilmu yang dapat diperoleh dapat diaplikasikan dalam kehidupan individu serta masyarakat.


Pelajar teruja mendengar taklimat yang disampaikan Aniza.

Pelajar perempuan melakukan praktikal mengkafan 'jenazah' perempuan. Pelajar tingkatan tiga Che Nurul Dawami Che Rani berlakon sebagai jenazah.