KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri mara selangkah ke hadapan apabila pihak pengurusannya komited untuk melaksanakan pengintegrasian teknologi secara berperingkat dalam sistem pendidikan khusus buat kalangan pelajar dan guru.

Difahamkan, antara transformasi yang di bawa di sekolah berkenaan adalah meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran di mana satu sistem pengurusan jadual dan takwim (SPJT) telah diperkenalkan bagi menguruskan pentadbiran sekolah.

Makmal komputer sekolah turut disediakan maklumat mengenai penggunaan ICT.

Malah, melalui sistem ini juga, pihak sekolah telah mengaplikasikan kedatangan murid dengan menggunakan kaedah biometric thumb print bagi mengurangkan bebanan guru.

Pengetua SMK Taman Bukit Maluri, Zainon Harun berkata, sekolah berkenaan juga telah melaksanakan sistem pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)abad ke 21 secara konsisten meliputi subjek-subjek penting merentasi kurikulum.

Zainon

“Langkah ini dilihat berkesan apabila sekolah ini menunjukkan peningkatan cemerlang menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dengan Gred Purata Sekolah meningkat 0.8 peratus.

“Pelbagai aktiviti PdPc Abad 21 yang menarik disediakan oleh guru dan pelaksanaannya berjalan dengan berkesan,”katanya.

Di samping itu, Zainon berkata sekolah berkenaan turut menyediakan platform TeachMe di mana ia merupakan inisiatif bagi mewujudkan kelas tuisyen perseorangan secara atas talian maya.

Zainon berkata, inisiatif yang pertama kali diwujudkan di Malaysia ini amat menarik berikutan guru subjek menawarkan kelas bimbingan kepada pelajar melalui komunikasi secara video.

“Guru-guru dan pelajar di SMK Taman Bukit Maluri telah pun melalui sesi latihan secara hands on bagi memastikan pelaksanaan ini mencapai objektif yang dikehendaki,”katanya.

Dalam pada itu, Guru Penyelaras Bestari, Zainuddin Zakaria berkata, sekolah berkenaan juga telah menubuhkan pusat PdPc Abad ke 21 sejak April 2016 lalu di mana ia mampu memuatkan lebih kurang 60 orang guru.

Zainuddin

Zainuddin berkata, pusat ini digunakan untuk memberi latihan kepada guru mengenai kemahiran pengajaran dan pembelajaran abad ke 21.

“Malah, buat masa ini juga, pihak sekolah sedang menaiktaraf sistem rangkaian MalurianNet bagi membolehkan akses internet dicapai di seluruh kawasan sekolah dengan kepantasan 100Mbps.

“Kemudahan ini dapat membantu keperluan capaian data dengan lebih berkesan seterusnya dapat menampung keperluan data internet semasa bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran,”katanya.

Sementara itu, Guru Matematik dan Sains Komputer, Zanariah Mohamed Yusoff berkata, penubuhan Pusat Matematik berasakan teknologi di sekolah berkenaan juga merupakan salah satu langkah untuk memantapkan lagi subjek berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejajar dengan hasrat perkembangan pendidikan.

Katanya, guru dan pelajar dapat menerokai konsep matematik berintegrasikan teknologi di samping mengaplikasikan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah melalui penubuhan one stop center di sekolah berkenaan.

“Dengan wujudnya pusat ini, pelajar boleh mendapatkan kemahiran penyelesaian masalah yang sangat diperlukan oleh semua pelajar dalam abad ke 21,” katanya.