BUKIT SENTOSA - Ketika rakan seusia lain riang bermain di taman, dia hanya mampu melihat jauh dari tingkap rumah.

Itu antara rutin harian anak kelima daripada enam beradik, Muhammad Adam Shahputra Zaidi, 8, apabila bahagian mata kirinya membengkak akibat kanser tahap empat.

Ibunya, Rohayu Sulaiman, 39, berkata, Adam tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain bersama rakan lain bagi mengelak jangkitan kuman atau risiko bahaya sekiranya bahagian yang membengkak itu terkena objek tajam.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka Adam yang sering mengadu sakit kepala sejak berusia 6 tahun dan sering terlanggar sesuatu ketika berjalan adalah disebabkan kanser mata.

“Paling ketara pada tahun lepas dan hujung September, dia mengadu sakit kepala dan satu hari lepas balik dari sekolah agama (sebelah pagi), mata kiri Adam kemerahan.

“Adam cakap tak sakit mata dan lepas bawa ke Klinik Serendah, diminta ke Hospital Selayang sebelum ke Hospital Kuala Lumpur.

“Terkejut sangat bila doktor sahkan Adam dijangkiti kanser mata tahap empat dan pada bulan 12, Adam perlu jalani pembedahan buang mata kiri,” katanya.

Adam hanya mampu melihat dari tingkap rakan seusianya bermain.

Bapa, Zaidi Shabudin, 45, berkata, pembedahan perlu dilakukan segera dalam tempoh seminggu bagi mengelak sel kanser merebak bagi menyelamatkan nyawa Adam.

Menurutnya, ketika itu isterinya sedang sarat mengandung anak keenam dan tahap kesihatan Adam semakin merosot.

“Mata kiri Adam digantikan dengan mata palsu sebaik pembedahan selesai dilakukan.

“Pihak hospital menyarankan agar Adam jalani rawatan kemoterapi tapi saya tidak yakin kerana tahap kesihatan Adam ketika itu sangat merosot dan lemah.

“Saya bimbang rawatan kemoterapi akan memberi kesan maka, saya mencari rawatan alternatif bagi memulihkan kesihatan Adam agar dapat menjalani kemoterapi ketika badan sedang kuat,” katanya.

Mata palsu jatuh

Zaidi berkata, pada Mac lalu, anak ketiganya dijangkiti demam denggi manakala Adam mengalami ruam serius di seluruh badan.

Menurutnya, bahagian rongga mata kiri Adam dikesan mula membengkak apabila mata palsu yang dipakai terjatuh sendiri.

“Waktu itu Adam berada di tingkap (tingkat dua) sambil melihat budak-budak bermain dan bila mendongak, mata palsu tu jatuh ke bawah.

“Bahagian isi rongga mata semakin membengkak sehingga terkeluar dan membesar.

“Kami ada bawa Adam buat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur pada awal April lalu dan dimaklumkan bahagian yang bengkak itu adalah kesan kanser,” katanya.

Zaidi berkata, dia membelanjakan RM500 sebulan bagi membeli set produk makanan tambahan (kapsul) berasaskan cendawan Lingzhi bagi meningkatkan daya tahan badan Adam.

Menurutnya, tahap kesihatan bertambah baik dan bahagian yang membengkak itu menunjukkan tanda pengecutan.

“Saya bukan tidak mahu Adam jalani kemoterapi tapi saya mahu Adam betul-betul kuat dulu k. Adam pun kurang mengadu sakit kepala cuma emosinya mudah terganggu dan terpaksa melupakan persekolahan buat sementara waktu,” katanya.

Guru sekolah turut memberi buku latihan agar Adam dapat mengulang kaji di rumah.

Hadapi masalah kewangan

Zaidi berkata, dia merupakan golongan asnaf yang menerima bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan selain bergantung pada pendapatan sebagai tukang kebun di pusat latihan polis dengan gaji RM1,000 sebulan.

Menurutnya, anak bongsu baharu berusia empat bulan manakala empat lagi masih bersekolah dengan anak sulung bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kos ubat Adam memerlukan sekurangnya RM500 sebulan dan doktor beritahu ketika rawatan kemoterapi nanti, saya perlu menunggu di hospital selama empat bulan.

"Saya tidak pasti boleh cuti kerja selama itu dan kalau cuti tanpa gaji, saya akan hadapi masalah kewangan pula,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 12207020243872 atas nama Zaidi.


Pengerusi penduduk, Mohd Zainuddin (kiri) menziarahi Adam sekeluarga di rumahnya di Flat Cempaka.