KUALA NERUS - Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Tembesu melangkah setapak lagi apabila menjalin kerjasama dengan Fremantle Primary School, Perth, Australia.

Kerjasama itu terjalin melalui Program Perkongsian Profesional dalam usaha meningkatkan tahap profesional guru serta berkongsi pengetahuan dalam bidang pendidikan.

Menariknya, program lawatan ke Australia anjuran Unit Kurikulum dan Kokurikulum SK Kompleks Tembesu itu disertai seramai 26 guru dan kos perbelanjaan dibiayai sendiri mereka.

Rombongan guru bergambar di hadapan Malaysia Hall Perth.

 

Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) SK Kompleks Tembesu, Shamsida Hamzah berkata, lawatan akademik ke Perth, Australia itu sememangnya telah dirancang sejak sekian lama sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan jalinan antarabangsa.

“Matlamat utama pihak sekolah mengadakan program kerjasama antarabangsa ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai tahap profesion perguruan di negara luar.

“Melalui program perkongsian ilmu ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kedua-dua pihak mengetahui corak pendidikan di negara masing-masing.

“Malah lebih penting lagi adalah kita dapat tingkatkan tahap profesional guru agar pengalaman yang diperoleh itu dapat dikongsi kepada guru-guru lain dan juga murid-murid,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, selain disertai guru SK Kompleks Tembesu, lawatan akademik itu turut disertai guru-guru daripada beberapa buah sekolah lain seperti SK Gong Badak, SK Bukit Besar dan lain-lain.

“Alhamdulillah, ketika di sana rombongan kami sambut baik Pengetua Fremantle Primary School, Perth, Australia, Aden Omara,” katanya.

Tambahnya ilmu dan pengetahuan yang diperoleh menerusi lawatan ilmiah penuh bermaklumat itu akan diterapkan dalam pembelajaran murid-murid sekolah nanti.

“Selain berkongsi cara dan pendidikan di negara kita, kita juga turut berpeluang mempelajari konsep serta sistem pendidikan Australia yang boleh diterapkan kepada murid-murid kita pula,” katanya.

Rombongan guru bergambar bersama wakil Kementerian Pendidikan Malaysia di Perth.