SAUJANA - Aplikasi kumpulan WhatsApp akhirnya menyatukan semula lebih 50 bekas pelajar Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1986 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1988 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Permaisuri.

Pengurus Program Alumni, Razali Salleh berkata, kesemua bekas pelajar itu sudah terpisah sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, melalui pertemuan semula itu mereka bersepakat untuk mewujudkan satu tabung khas bagi membantu rakan-rakan yang tidak bernasib baik atau ditimpa musibah.

“Inilah yang dapat kami lakukan untuk melahirkan rasa simpati kami kepada rakan yang memerlukan,” katanya pada Reunion Group SRP 86 dan SPM 88 di SMK Kampung Saujana, di sini.

Razali berkata, persahabatan yang terputus sekian lama itu diharap terus kekal sehingga akhir hayat mereka.

Katanya, pertemuan pertama kali itu tidak akan berhenti di situ sahaja malah akan diteruskan di lain masa.

“Banyak lagi program yang kami rancang pada masa akan datang supaya hubungan ini tidak akan putus.

“Turut sama ahli keluarga masing-masing dalam majlis ini supaya hubungan ini bukan setakat kami sebagai alumni sahaja,” katanya.

Dalam masa terdekat, pihaknya merancang untuk mengadakan satu lagi perjumpaan lebih meriah sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.