HULU BESUT - Kesemua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering atau lebih dikenali Sekolah Seri Nering (SSN) dijemput hadir menjayakan Majlis Reunion Perdana Ex-SSN yang berlangsung Sabtu ini bermula jam 8.30 pagi di Dewan Munsyi sekolah berkenaan.

Pengerusi penganjur program, Wan Rusdi Wan Ismail berkata, acara bermula hari ini dengan slot motivasi dan teknik pembelajaran matematik oleh pakar yang terdiri daripada bekas pelajar SSN kepada pelajar SMK Seri Nering.

Menurutnya, kemuncak adalah majlis perasmian pada Sabtu ini yang menghimpunkan semua bekas pelajar secara serentak daripada kumpulan pertama sekolah dibuka pada 1969 sehinggalah yang terbaru meninggalkan sekolah.

“Setakat ini lebih 100 bekas guru SSN sudah mengesahkan kehadiran pada majlis tersebut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang media di kediaman Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad di Kampung Alor Keladi, di sini. Nawi yang penaung program juga merupakan bekas pelajar SSN turut hadir dalam sidang media tersebut.

Wan Rusdi berkata, di samping menghimpunkan bekas pelajar dan guru, program tersebut juga bertujuan merasmikan Pelancaran Tabung Surau Baru dan Pelancaran Tabung Pelajar Miskin SMK Seri Nering serta penubuhan Persatuan Alumni EX SSN.

"Bekas pelajar walaupun di mana berada dijemput hadir menjayakan majlis tersebut yang akan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mustafa Ibrahim yang juga merupakan bekas pelajar sekolah itu.

“Pihaknya menjangkakan sekitar 2,000 bekas pelajar sekolah tersebut termasuk yang berada di luar negara selain Sabah dan Serawak akan hadir meriah program,” katanya.

Katanya, selama ini perjumpaan bekas pelajar lazimnya dibuat mengikut batch masing-masing tetapi ini tidak mengira kumpulan tetapi membabitkan semua sekali.

Di samping itu, penganjur juga akan menyampaikan beberapa anugerah tokoh kepada bekas pelajar dan guru terbabit.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Wan Rusdi di talian 019-989 1414 dan setiausaha program, Maharani Abd Ghani (013-322 0878) atau melayari Facebook, ex-student SMK Seri Nering.