KEMAMAN - Selepas menempuh detik duka kematian ibu dan terpaksa menduduki dua kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Hospital Kemaman kelmarin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Nuryn Elmira Farhana Mohd Hamzah, 17, kembali menjawab kertas peperiksaan di sekolahnya, semalam.

Nuryn Elmira Farhana yang kehilangan ibunya, Surina Ghani, 40, dalam nahas tragik ketika ibunya dalam perjalanan menghantarnya ke pusat peperiksaan di SMK Kijal, menjawab kertas Matematik Tambahan 1 di bilik calon kuarantin sekolahnya pada jam 8 pagi.

Anak kedua daripada tiga beradik itu yang kelihatan masih trauma sempat berehat seketika sebelum menduduki kertas Matematik Tambahan 2 pada jam 2 hingga 4.30 petang.

Kedua-dua kertas peperiksaan itu diketahui umum sebagai antara mata pelajaran yang sukar, namun Nuryn Elmira Farhana tabah mendudukinya sehingga tamat masa yang diberikan.

Mangsa yang juga pelajar harapan sekolahnya menjawab peperiksaan di bilik calon kuarantin susulan faktor kesihatannya yang belum pulih dari kecederaan.

Kemalangan kirakira jam 7.05 pagi kelmarin di Kilometer 132 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, Kampung Meraga Beris menyebabkan Nuryn Elmira Farhana mengalami kecederaan di bahu dan pergelangan tangan kanan

Bagaimanapun, kecederaan itu tidak menjejaskannya untuk menjawab kertas soalan kerana kidal.Nuryn Elmira Farhana berjaya menjawab dua kertas peperiksaan iaitu Prinsip Perakaunan 1 dan 2 pada jam 8 serta 10 pagi kelmarin di bilik khas di Unit Kecemasan Hospital Kemaman. Mangsa dijangka menduduki beberapa lagi kertas peperiksaan sehingga kertas terakhir pada 30 November depan.

Kemalangan tragik itu turut mengakibatkan adiknya, Nuryn Eliesa Farhana,12, yang juga calon harapan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan terpaksa dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang selepas menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman.

Insiden menimpa tiga beranak itu terjadi selepas kereta Proton Waja dinaiki mereka yang baru keluar simpang dirempuh van Toyota Hiace milik Aman Palestin Bhd dinaiki dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Chukai ke Kerteh.

Akibat kejadian itu, staf Aman Palestin Cawangan Kemaman, Mariani Mohd Noor, 27 dan sukarelawan Aman Palestin Pahang, Muhammad Anwar Abdul Rahman, 21, yang memandu van terbabit turut cedera.